Skip to main content

PERUTUSAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA)SEMPENA SAMBUTAN HARI PEKERJA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Salam Sejahtera, Salam KITA UMPSA dan Salam Malaysia MADANI.

Warga universiti yang saya hormati sekalian.

Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2026, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga universiti khususnya para pensyarah, penyelidik, pegawai, staf pentadbiran, teknikal dan sokongan yang sentiasa komited serta berdedikasi dalam melaksanakan amanah masing-masing.

Bersesuaian tema Hari Pekerja tahun ini, 'Pekerja MADANI, Kesuma Bangsa' amat bertepatan dalam menzahirkan pengiktirafan bahawa setiap pekerja adalah tunjang utama kemajuan negara. 

Di universiti ini, KITA semua merupakan nadi yang menggerakkan kecemerlangan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan khidmat masyarakat.

Dunia pekerjaan kini berubah dengan pantas seiring perkembangan teknologi, automasi dan transformasi digital. 

Landskap baharu ini menuntut tenaga kerja yang berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran masa hadapan. 

Justeru, komitmen KITA untuk memperkasakan bakat, meningkatkan kompetensi dan mengamalkan budaya kerja cemerlang harus terus diperkukuh.

Warga yang saya hormati.

Saya amat menghargai segala usaha dan pengorbanan warga universiti yang sentiasa berusaha memastikan kelangsungan penyampaian pendidikan berkualiti, menghasilkan penyelidikan berimpak dan memacu inovasi demi kesejahteraan masyarakat serta negara. 

Kejayaan yang KITA kecapi hari ini adalah hasil kerja berpasukan, semangat kebersamaan dan keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab.

Dalam masa yang sama, aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja juga perlu sentiasa menjadi keutamaan. Persekitaran kerja yang selamat, sihat dan inklusif adalah asas kepada produktiviti, kreativiti, keseimbangan kehidupan dan juga kerjaya.

Warga universiti sekalian.

Hari ini, KITA tidak sekadar meraikan Hari Pekerja. KITA meraikan nilai sebuah usaha, kekuatan sebuah komitmen dan keikhlasan sebuah pengorbanan.

Di sebalik setiap pencapaian UMPSA, setiap program yang berjaya dilaksanakan, setiap pelajar yang dilahirkan, setiap kerjasama yang terjalin, terdapat insan-insan yang bekerja dengan penuh dedikasi, sering kali tanpa melihat waktu dan tanpa menuntut pengiktirafan.

Namun, KITA harus jujur dengan realiti dunia hari ini. KITA sedang hidup dalam satu era yang penuh ketidaktentuan. Ketegangan geopolitik global, termasuk konflik yang berlarutan di Asia Barat telah memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia, rantaian bekalan dan landskap pendidikan tinggi. 

Mobiliti pelajar dan staf, akses kepada teknologi, malah kerjasama antarabangsa, semuanya kini terdedah kepada risiko yang tidak pernah KITA jangkakan sebelum ini.

Dalam dunia seperti ini, KITA tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan lama. KITA perlu berubah. KITA perlu bersedia. KITA  perlu menjadi lebih kuat. Kerana dalam dunia yang tidak menentu ini, satu perkara menjadi jelas, daya tahan bukan lagi satu kelebihan. Ia adalah satu keperluan.

Seiring dengan hasrat KITA untuk menjadi Hab TVET Termaju di Asia Pasifik menjelang tahun 2030, KITA kini menetapkan langkah yang lebih berani  iaitu 'Positioning UMPSA as the Premier Advanced TVET Hub in the Asia-Pacific Region'. Ini bukan sekadar pernyataan strategik. 

Ini adalah satu komitmen kolektif untuk memastikan bahawa UMPSA bukan sahaja relevan, tetapi menjadi rujukan, bukan sahaja bersaing, tetapi memimpin. KITA mahu dikenali bukan hanya kerana apa yang kita ajar, tetapi kerana impak yang KITA cipta kepada dunia.

Untuk memastikan aspirasi ini menjadi kenyataan, berpandukan kepada kerangka K.I.T.A., yang bukan sekadar strategi di atas kertas, tetapi cara KITA berfikir, bertindak dan membuat keputusan setiap hari.

KITA tidak boleh bergantung kepada satu rakan, satu negara atau satu model. KITA perlu mempelbagaikan jaringan KITA. 

KITA perlu mengukuhkan hubungan dengan industri. KITA perlu memanfaatkan teknologi untuk memastikan pembelajaran tidak pernah terhenti.

Namun, yang paling penting KITA perlu membina manusia yang mampu berdiri teguh walaupun dunia di sekelilingnya berubah. Kerana akhirnya, ketahanan sesebuah institusi bergantung kepada ketahanan warganya.

Nilai adalah kompas KITA. 

Kasih yang membina hubungan,
Intelek yang memandu pemikiran,
Tatakelola yang memastikan keadilan, Amanah dan Akauntabiliti yang membentuk kepercayaan.

Dengan nilai, KITA bukan sahaja mencapai kejayaan, KITA mencapai kejayaan yang bermakna.
 
Warga UMPSA yang saya kasihi.

Apa yang KITA lakukan hari ini mungkin kelihatan kecil. Namun, apabila digabungkan, ia menjadi kekuatan yang mampu mengubah masa hadapan. Setiap usaha KITA di pejabat, makmal, bilik kuliah dan lapangan adalah sebahagian daripada perjalanan besar ini. Perjalanan ini memerlukan KITA semua.

Teruskan melangkah, walaupun langkah itu kecil. Teruskan memberi, walaupun tanpa disedari. Teruskan percaya, bahawa apa yang kita bina hari ini akan menjadi legasi esok.

Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga UMPSA.

KITA bukan sekadar bekerja. KITA membina masa hadapan. KITA membentuk generasi. KITA mencipta impak.

'Pekerja MADANI, Kesuma Bangsa'.

Sekian, Wabillahi Taufak Walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
 
PROFESOR TS. DR. YATIMAH ALIAS
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim