Skip to main content

PIMPIN anjur Seminar Halalan Tayyiba Bincang Isu Halal Kontemporari

Kuantan , 21 Oktober– Seminar Halalan Tayyiba yang dianjurkan bersama oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan merungkai isu berkaitan teknologi makanan, fiqh dan berkaitan kepenggunaan yang melatari konsumerisme.membabitkan perkongsian kepakaran pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pakar dari luar. 

Tampil menjayakan program adalah Prof. Madya Dr. Hasan Ahmad, Ustaz Tuan Sidek Tuan Muda, Dr. Azizan Ramli dan Prof. Ir. Ts. Dr. Rosli Mohd. Yunus membentangkan projek Gelatin Halal UMP-MARA. Manakala Ustaz Samir Sulaiman yang merupakan Penolong Pengarah Kanan Hab Halal JAKIM membentangkan tajuk `Isu dan Cabaran Pensijilan Halal’ disusuli Ustaz Fahrur Rozi dari IRHAM Centre yang mengupas topik ‘Sertu Dalam Industri’.

Menurut Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail, objektif yang ingin dicapai dari penganjuran program ini adalah untuk menerangkan tentang kepentingan halalan tayyiba kepada pengguna dan pengusaha industri barangan kepenggunaan. “Ianya mendedahkan kepada pengguna dan pengusaha tentang pensijilan halal Malaysia. Perkongsian pengalaman ini memperkenalkan kepakaran yang ada di UMP selain membantu pembangunan halal negara khususnya di Pantai Timur melalui platform Pusat Latihan dan Konsultansi Halal UMP,” katanya.

Program yang mendapat kerjasama UMP Consultancy Sdn. Bhd., Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli dan turut mendapat sokongan penuh oleh Bahagian Halal, Jabatan Agama Islam Pahang serta Majlis Ugama Islam Pahang dan Perunding Latihan Halal Bertauliah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Turut berlangsung sesi Forum Khas Halal yang dibarisi Pengurus Besar Bahagian Halal & Pematuhan Syariah QSR Brands (M) Holdings Bhd, Roslan Saludin,  Presiden Persatuan Muslim Profesional Jepun, Akmal Abu Hassan dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Ustaz Noridzuan Abdul Manan. Turut hadir dalam program ialah Timbalan Pengarah MARA Negeri Pahang, Haji Zulbahari Hamzah.

Disediakan oleh Ustaz Mohamad Hasnur Abdul Hamid dari Pusat Islam dan Pembangunan Insan 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Norhidayah binti Mohamad