Profesor Dr. Yatimah Alias dilantik Naib Canselor ke-6 UMPSA
PEKAN, 13 Januari 2025 – Profesor Dr. Yatimah Alias, 55, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 13 Januari 2025.
Beliau mengambil alih tugas yang sebelum ini disandang oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang telah memegang jawatan tersebut bermula 1 Mac 2022 hingga 31 Oktober 2024.
Kehadiran Profesor Dr. Yatimah yang tiba bagi memulakan tugasan pada hari pertama disambut barisan pengurusan universiti dan warga UMPSA di bangunan Canseleri Tun Abdul Razak di UMPSA Pekan.
Profesor Dr. Yatimah yang merupakan Naib Canselor ke-6 dan wanita pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor UMPSA menzahirkan penghargaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir atas kepercayaan ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan buat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, mantan Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr Aida Mustapha menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA bermula 1 November 2024.
Ujarnya, ini adalah satu peluang yang sangat bermakna dalam hidup saya dan berharap dapat bekerjasama dengan semua staf.
“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk universiti terunggul dalam bidang Teknologi dan Kejuruteraan ini.
“Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Dengan pengalaman yang luas dalam bidang akademik dan antarabangsa, beliau akan terus berusaha untuk meneruskan kecemerlangan bersama-sama warga UMPSA bagi merealisasikan visi ke arah universiti teknologi terunggul.
Profesor Dr. Yatimah yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2022 itu memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Electrochemistry-Inorganic dari University of East Anglia, United Kingdom pada tahun 1999 setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (1993) dan Sarjana dalam bidang Kimia di UM (1996).
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014); Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018); dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari tahun 2017 hingga 2022.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyerahkan watikah pelantikan Naib Canselor baharu UMPSA kepada Profesor Dr. Yatimah Alias pada 8 Januari tempoh hari.
Seluruh warga universiti amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Profesor Dr. Yatimah Alias sebagai Naib Canselor UMPSA yang baharu.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 153 views