Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang cipta pendekatan baharu pembelajaran risiko projek melalui modul Risk Ready
PEKAN, 16 Julai 2025 – Menyedari perubahan drastik dalam landskap pendidikan global sejak pandemik melanda pada awal tahun 2020, Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang mengambil inisiatif membangunkan sebuah modul pembelajaran yang inovatif dan adaptif terhadap keperluan semasa.
Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Lee, modul yang dikenali sebagai Risk Ready: Micro Credential in Project Risk Management ini dirangka bagi menangani cabaran pembelajaran dalam talian yang dihadapi pelajar dalam bidang teknikal seperti pengurusan projek dan pengurusan risiko.

“Inisiatif ini lahir daripada keperluan mendesak untuk merombak pendekatan pengajaran agar lebih interaktif, mudah diakses dan berkesan dalam persekitaran maya, sekali gus memastikan pelajar benar-benar memahami konsep serta kemahiran teras yang diperlukan industri.
“Penyelidikan Risk Ready bermula pada pertengahan tahun 2019 dan mula diuji penggunaannya melalui program Project Management Body of Knowledge (PMBOK®) 6th Edition Training 1.0: Towards CAPM® Certification pada 1 Oktober 2020.
“Program ini dijalankan di bawah Geran Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pengajian Tinggi bernilai RM84,600,” ujarnya.
Menjelang akhir tahun 2024, konsep pembelajaran secara modular dan micro-credential telah disempurnakan sepenuhnya.
Beliau menambah, modul ini menyasarkan pelajar universiti dan profesional industri dengan memberi tumpuan kepada kefahaman terhadap amalan terbaik seperti digariskan dalam PMBOK®.
“Ia turut menyokong Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui penyediaan pendidikan teknikal dan vokasional yang berkualiti, inklusif dan berpatutan.
“Antara elemen kebaharuan (novelty) dan keaslian (originality) modul ini ialah gabungan teori dan praktikal secara modular menggunakan simulasi dalam talian yang menjadikan pembelajaran lebih dinamik.
“Pendekatan micro-credential pula membolehkan pelajar mengikuti latihan secara fleksibel mengikut kemampuan masing-masing sekali gus meningkatkan keberkesanan pembelajaran” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, modul ini juga menekankan pembelajaran secara eksperiensial Eksperiensial (Experiential Learning) iaitu pelajar diberi peluang untuk mengalami situasi sebenar secara maya dan membuat refleksi atas pengalaman tersebut, satu kaedah terbukti dapat meningkatkan pemahaman konsep dan penguasaan kemahiran dalam pengurusan risiko projek.
“Kesemua elemen ini dilaksanakan melalui platform digital interaktif yang sesuai untuk penggunaan di institusi pendidikan tinggi mahupun dalam latihan industri.
“Pelaksanaan modul ini merangkumi tiga fasa utama iaitu latihan teori, pengalaman simulasi dan penilaian kendiri.
“Pelajar didedahkan kepada 13 topik utama pengurusan projek berdasarkan PMBOK®, sebelum menjalani simulasi pengurusan risiko projek menggunakan perisian Risk Simulator,” katanya.
Beliau berkata, melalui simulasi ini juga para pelajar dapat memahami proses analis risiko secara kuantitatif dan membuat keputusan dalam persekitaran maya yang realistik.
“Fasa akhir, mereka diuji dengan 150 soalan latihan dalam tiga tahap kesukaran untuk mengukuhkan pemahaman dan kemahiran masing-masing.
“Pelaksanaan kajian ini disokong oleh dua pihak utama iaitu Edustats Solutions dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
“Edustats Solutions telah menyediakan lesen sah bagi penggunaan perisian Risk Simulator yang menjadi tunjang simulasi dalam modul ini, manakala Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong pelaksanaan modul ini melalui inisiatif Geran Kebolehpasaran Graduan (KPT-PACE),” ujarnya.
Di samping itu, platform TINTA yang dibangunkan oleh Centre of Instructional Resources and e-Learning (CIReL) UMPSA turut digunakan sebagai medium pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.
Tambahnya, matlamat akhir modul ini adalah untuk menghasilkan pendekatan pengajaran pengurusan risiko projek yang praktikal, boleh diakses secara meluas dan selaras dengan keperluan industri serta pensijilan profesional.
“Ia dapat membantu menyelesaikan isu jurang kemahiran antara ilmu akademik dan keperluan industri, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyediakan latihan berfokus dalam bidang pengurusan risiko projek.
“Pendekatan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan modal insan yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar.
“Setakat ini, modul ini belum dikomersialkan secara rasmi kerana ia masih tertumpu kepada manfaat untuk pelajar universiti dan kosnya sedang dalam proses pelarasan.
Namun, keberkesanan dan impak Risk Ready telah diiktiraf apabila memenangi pingat emas serta anugerah Outstanding Business Management Micro-Credential Award (Tempat Pertama) dalam pameran penyelidikan Pameran Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2025 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 18 hingga 19 Jun 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Beliau berharap agar modul ini dapat dikembangkan ke lebih banyak institusi pendidikan, organisasi dan industri.
“Tumpuan seterusnya adalah untuk memperluaskan kepada golongan akademik melalui pendekatan micro-credential, konsep Pembelajaran Jarak Jauh Dalam Talian (ODL), serta pihak industri yang berasaskan projek.
“Saya turut merancang untuk menaik taraf modul dengan kandungan simulasi tambahan, memperluas penggunaan micro-credential serta menjalinkan kerjasama dengan agensi latihan dan syarikat bagi melatih lebih ramai pelajar dan pekerja dalam bidang pengurusan risiko projek secara praktikal dan bertauliah.
“Inovasi ini juga merupakan kesinambungan kepada hasil penyelidikan yang terdahulu iaitu DEMATEL Digraph dan I-GCPM Modular yang berpotensi untuk digabungkan bagi meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dalam bidang pengurusan risiko projek,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Nur Hartini binti Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 129 views