Skip to main content

Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dilantik TNC (PI) UMPSA baharu

PEKAN, 4 Jun 2024 - Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, 48 dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah yang baharu berkuat kuasa mulai 4 Jun 2024.

Pelantikan Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini adalah untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 4 Jun 2024 hingga 3 Jun 2026.

Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dilantik TNC (PI) UMPSA baharu

Anak kelahiran Muar Johor ini sebelum berkhidmat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selama sepuluh tahun dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan, Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Perundingan, Pengkomersialan & Inovasi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (ORICC), Timbalan Pengarah (Pengurusan Geran Penyelidikan), Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Timbalan Pengarah (Strategi dan Pembangunan), Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC).  

Beliau juga merupakan Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di UMPSA.

Profesor Ts. Dr. Aida yang berkepakaran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) khususnya Computational Linguistics, Soft Computing dan Agent System juga merupakan Microsoft Certified dan HRD Accredited Trainer, Chief Editor for Journal of Quranic Sciences and Research serta ahli dalam ISO/TC 204 Intelligent Transport Systems, Malaysia Association of Research Managers and Administrators (MyRMA), Malaysia Board of Technologist dan International Association of Counselors and Therapists.

Beliau memulakan pengajian Sarjana Muda Sains Komputer di Michigan Technological University, USA (1998) dan kemudian menyambung pengajian di peringkat Sarjana Sains Komputer di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2004. 

Pada tahun 2008, beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang AI daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengucapkan tahniah kepada Profesor Ts. Dr. Aida atas pelantikan ini.

“Diharapkan dengan pelantikan ini, kita dapat sama-sama melaksanakan amanah yang diberikan demi memacu kecemerlangan universiti seterusnya menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi di persada antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli yang telah banyak menyumbang dalam bidang penyelidikan dan inovasi sejak dilantik sebagai TNC(PI) sejak 15 Mac 2019 hingga 14 Mac 2024 dalam memartabatkan UMPSA  menjadi antara universiti terbaik dunia.  

Ketibaan Profesor Ts. Dr. Aida di pejabatnya disambut barisan pengurusan universiti dan staf di Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan. 

Program diikuti dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Ustaz Muhammad Sallehudin Md Derus dan kemudiannya menghadiri sesi taklimat bersama staf Jabatan Penyelidikan dan Inovasi. 

Seterusnya disusuli pertemuan bersama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin pada sebelah petangnya.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat 
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris