Skip to main content

Program Go Green UMPSA catat kutipan hampir 900 kg bahan kitar semula

PEKAN, 10 Jun 2026 – Pusat Pembangunan Kelestarian, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian kampus melalui penganjuran Program Go Green yang berlangsung di Pusat Kitar Semula UMPSA Pekan.

Program itu berjaya mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak 888.21 kilogram bahan kitar semula, hasil penyertaan dan sokongan warga universiti yang terdiri daripada staf, pelajar serta komuniti setempat.

Antara bahan yang berjaya dikumpulkan ialah kotak dan kertas sebanyak 355 kilogram, diikuti minyak terpakai sebanyak 303.55 kilogram, pakaian terpakai sebanyak 164.66 kilogram, besi sebanyak 32 kilogram, plastik sebanyak 30 kilogram dan tin minuman sebanyak tiga kilogram.

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain, kejayaan program ini membuktikan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) semakin meningkat serta menyokong usaha UMPSA dalam merealisasikan kampus yang lebih hijau dan lestari.

“Program Go Green bukan sekadar aktiviti pengumpulan bahan kitar semula, malah menjadi platform pendidikan dan pembudayaan amalan kelestarian dalam kalangan warga kampus. 

“Pencapaian kutipan ini menunjukkan komitmen yang sangat memberangsangkan daripada seluruh warga UMPSA dalam menjaga alam sekitar dan mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan,” ujarnya. 

Program Go Green UMPSA catat kutipan hampir 900 kg bahan kitar semula

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan menjayakan program tersebut, termasuk pusat tanggungjawab, pelajar, staf serta rakan kerjasama yang sentiasa menyokong inisiatif kelestarian universiti.

Tambahnya lagi, beliau berharap program Go Green akan terus mendapat sambutan yang lebih menggalakkan pada masa akan datang. 

“Melalui penyertaan yang konsisten, warga UMPSA bukan sahaja dapat mengurangkan impak terhadap alam sekitar, malah berperanan sebagai agen perubahan dalam membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap kelestarian bumi untuk generasi akan datang,” katanya. 

Program ini selaras dengan aspirasi UMPSA dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan dapat membantu memperkukuhkan pencapaian penarafan kelestarian di peringkat antarabangsa, katanya. 

Menurut salah seorang staf Keselamatan UMPSA, Norhidayah Mohd Latif, beliau memang menjadikan amalan mengumpul minyak masak terpakai sebagai rutin di rumah. 

“Daripada dibuang begitu sahaja dan boleh mencemarkan alam sekitar, lebih baik ia dikumpulkan dan dijual melalui program seperti ini,” katanya. 

Manakala menurut salah seorang pengunjung daripada komuniti setempat, Nor Khaiza Abdul Rahman dari Taman Seri Maulana, beliau mengetahui mengenai pogram ini melalui perkongsian maklumat dalam kumpulan WhatsApp penduduk setempat.

“Program seperti ini amat bermanfaat kerana memberi peluang kepada masyarakat untuk melupuskan bahan-bahan terpakai dengan cara yang lebih sistematik dan mesra alam.

“Program ini sangat bagus kerana selain dapat menjual minyak masak terpakai yang dikumpulkan di rumah, saya juga boleh menyumbangkan pakaian terpakai yang masih elok untuk dikitar semula. 

“Ia bukan sahaja membantu menjaga kebersihan persekitaran, malah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan amalan kitar semula,” katanya.

Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala dan diperluaskan lagi kepada komuniti sekitar supaya lebih ramai penduduk dapat mengambil bahagian dalam usaha memelihara alam sekitar dan menyokong agenda kelestarian. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri