Skip to main content

Program Sentuhan Kasih PERMAS 2026, UMPSA pupuk inisiatif kesukarelawanan dan bakti komuniti berimpak tinggi

SUNGAI BESAR, SELANGOR 9 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa hubungan bersama masyarakat menerusi penganjuran Program Sentuhan Kasih PERMAS 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 5 hingga 9 Ogos lalu.

Seramai 55 peserta menyertai program anjuran Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (PERMAS) UMPSA dengan kerjasama strategik pelbagai agensi bersama Majlis Belia Negeri Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Pejabat Penyelaras DUN N03 Sungai Panjang, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam, JPKK Kampung Sungai Limau, dan Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM)

Program melalui inisiatif Profesor Turun Padang di bawah Pusat Hubungan Komuniti ini melibatkan seramai 55 peserta dan 16 keluarga angkat di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan, membina sahsiah diri mahasiswa serta merapatkan hubungan silaturahim antara warga universiti dengan komuniti tempatan menerusi konsep keluarga angkat.

Program dimulakan pada 5 Ogos dengan latihan persediaan prakeberangkatan di UMPSA Kampus Paya Besar yang merangkumi taklimat kecemasan, taklimat pelaporan, dan sesi ice-breaking sebelum para peserta bertolak ke Kampung Sungai Limau pada hari kedua. 

Sepanjang berada di kampung berkenaan, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang memberi penekanan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) merangkumi kesihatan (SDG 3), Pendidikan, (SDG 4), Komuniti & Kelestarian (SDG 11), dan Bumi Hijau (SDG 13).

Antara pengisian berimpak tinggi yang dijalankan merangkumi forum Pathway to Success: Education and Entrepreneurship bersama 240 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, pelaksanaan aktiviti interaktif kit STEM, gotong-royong pembersihan Masjid Hashimiah, penanaman 50 unit anak pokok buah-buahan dan bunga di sekitar kawasan kampung, pemasangan empat unit lampu solar, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma kepada 125 orang mahasiswa dan penduduk kampung, serta acara sukan rakyat.

Sementara itu, menurut Ketua Kampung Sungai Limau, Abu Bakar Mustar, beliau menyifatkan penganjuran program ini memberi impak yang sangat positif dan bermakna buat penduduk kampung.

“Kehadiran mahasiswa UMPSA mengembalikan kegembiraan dan kemeriahan buat warga kampung, selepas kali terakhir penduduk berpeluang menjayakan program keluarga angkat kira-kira lima tahun yang lalu. 

“Kesungguhan mereka membantu komuniti melalui pelbagai aktiviti khidmat masyarakat terutamanya pemasangan kemudahan lampu solar amat membantu menerangi kawasan-kawasan dan laluan gelap di sekitar kampung,” ujarnya.

Interaksi terus bersama masyarakat membolehkan mahasiswa mengasah kemahiran insaniah, kepimpinan, serta memupuk rasa empati dan tanggungjawab sosial yang tinggi. 

Pada masa yang sama, program ini turut merapatkan hubungan antara penduduk setempat dan mahasiswa UMPSA, sekali gus mengukuhkan ikatan kekeluargaan serta keharmonian dalam komuniti. 

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Penyelaras DUN Sungai Panjang merangkap Presiden Majlis Belia Negeri Selangor, Dato’ Mohd Imran Tamrin.

Turut hadir Penasihat Program, Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar, Ketua Kampung Sungai Limau, Abu Bakar Mustar, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga, Histam Tasrip, dan Pengarah Program, Muhammad Adam Aiman Zainal.

Program Sentuhan Kasih PERMAS 2026, UMPSA pupuk inisiatif kesukarelawanan dan bakti komuniti berimpak tinggi

Sementara itu, menurut Pengarah Program, Muhammad Adam Aiman, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial merupakan teras penting yang wajib disemai dalam jiwa setiap mahasiswa.

“Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial perlu terus dipupuk dalam diri setiap mahasiswa agar kita bukan sahaja berjuang untuk mencapai kecemerlangan akademik di menara gading, malah sentiasa peka, cakna, dan berjiwa besar terhadap kebajikan serta kesejahteraan masyarakat di luar sana,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan. 

Sementara itu, Penyelaras DUN N03 Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur dan penduduk kampung. 

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada jawatankuasa penganjur terdiri daripada Persatuan PERMAS UMPSA, para sukarelawan, dan penduduk kampung yang telah memberikan kerjasama yang amat padu. 

“Semoga usaha murni dan semangat keprihatinan yang ditunjukkan ini dapat terus mengeratkan silaturahim serta memberi manfaat yang besar kepada seluruh warga Kampung Sungai Limau,” kata beliau.

Program Sentuhan Kasih PERMAS 2026 merupakan platform terbaik untuk menggalakkan mahasiswa berbakti kepada komuniti di samping mempelajari nilai-nilai kehidupan dan kearifan tempatan daripada keluarga angkat mereka.

Kejayaan penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk penaja utama seperti Majlis Belia Negeri Selangor, UMPSA Holdings, Free Tree Society, UMP Supremacy, Petron Cawangan Sungai Besi, di samping sokongan pengurusan universiti, kepimpinan kampung, serta penduduk setempat.

Penganjuran Program Sentuhan Kasih PERMAS 2026 wajar dijadikan tradisi berterusan sebagai platform strategik dalam memupuk generasi mahasiswa yang prihatin, berintegriti, dan berjiwa masyarakat. 

 

Langkah ini bukan sahaja memperkasakan ukhuwah antara UMPSA dan komuniti luar, malah menterjemahkan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik, kompeten, serta berdaya saing yang bersedia menjadi agen perubahan positif demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

Disediakan Oleh: Norhannina Ketemu, Setiausaha Agung, Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (PERMAS) UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri