Skip to main content

Program VocaBoost perkukuh kosa kata pelajar Sekolah Indera Shahbandar Pahang

PEKAN, 22 Ogos 2025 – Penguasaan kosa kata merupakan elemen utama dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Dengan mempunyai kosa kata yang pelbagai, ia dapat membantu pelajar memahami pelajaran dengan lebih berkesan, dan meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

Seiring dengan keperluan ini, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan siri ketiga program VocaBoost di Sekolah Indera Shahbandar Pahang. 

Seramai 113 pelajar tahun 4, 5 dan 6 dan juga 14 pelajar UMPSA yang berperanan sebagai fasilitator menyertai program ini. 

Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh penguasaan kosa kata bahasa Inggeris secara interaktif di kalangan pelajar sekolah serta memberi peluang kepada pelajar UMPSA untuk memberikan khidmat mereka kepada komuniti setempat. 

Program ini berjaya dilaksanakan melalui Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti (CDU240138) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, dan Dr. Ruhil Amal Azmuddin dan Siti Norzaimalina Abd Majid sebagai ahli projek. 

Program ini mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti, seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi). 

Profesor Madya Dr. Zuraina Ali merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak Sekolah Indera Shahbandar Pahang kerana sudi bekerjasama untuk menjayakan program ini.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen UMPSA dalam membantu para pelajar untuk meningkatkan penguasaan kosa kata Bahasa Inggeris di samping meningkatkan keyakinan mereka melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan lebih menyeronokkan.

“Terdapat pelbagai permainan yang dijalankan untuk membantu pelajar menambah kosa kata dan memupuk minat mereka dalam bahasa Inggeris. 

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah Word Relay Race yang menguji kepantasan pelajar mengenal pasti perkataan dan membentuk ayat berdasarkan perkataan yang diberi secara berkumpulan,” ujarnya. 

Tambahnya, bagi aktiviti Musical Vocabpoly, para pelajar diminta untuk duduk di dalam bulatan sambil muzik dimainkan dan mereka bergilir-gilir memegang sampul yang mengandungi kad kosa kata. 

“Apabila muzik dihentikan, pelajar terpilih perlu menjelaskan perkataan pada kad menggunakan ayat mudah atau sinonim dalam bahasa Inggeris kepada ahli kumpulan. 

“Antara aktiviti yang menarik perhatian ialah Hotseat iaitu seorang peserta duduk di atas kerusi khas sambil memegang kad di atas kepala. 

Peserta lain perlu memberi petunjuk tentang gambar tersebut menggunakan ayat mudah, sinonim atau gerakan, manakala peserta di kerusi perlu meneka perkataan tersebut,” katanya. 

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini melibatkan elemen pembelajaran secara kolaboratif dan gamifikasi yang menggalakkan para pelajar untuk bekerjasama dalam mencapai objektif permainan. 

Selain itu, suasana program yang menyeronokkan meningkatkan keyakinan untuk berbahasa Inggeris tanpa rasa bimbang dan menjadikan pembelajaran bahasa lebih bermakna.

Salah seorang fasilitator, Azimudin Sabarudin mendapati para pelajar begitu bersemangat dan terhibur ketika melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan. 

“Program ini dapat membantu para pelajar menggunakan bahasa Inggeris dengan lebih menyeronokkan dan menerapkan dalam kehidupan seharian,” ujarnya. 

Pihak UMPSA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Guru Bahasa Inggeris Sekolah Indera Shahbandar Pahang, Aida Razali yang banyak membantu untuk menjayakan program ini. 

Program VocaBoost mencapai sasaran dengan meningkatkan keyakinan pelajar menggunakan bahasa Inggeris di samping mengukuhkan kerjasama antara universiti dan sekolah. 

UMPSA berharap penganjuran program ini memberi motivasi kepada para pelajar dan menambah minat mereka untuk meningkatkan pengetahuan dalam bahasa Inggeris.

Disediakan Oleh: Siti Norzaimalina Abd Majid, Dr. Ruhil Amal Azmuddin, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri