Projek Fertigasi Timun ECERDC-UMP memperkasa sosioekonomi orang asli
LIPIS, 9 April 2023 – Projek Fertigasi Timun yang dijalankan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan UMP Advanced bersama masyarakat orang asli Kampung Pantos capai matlamat dalam memperkasa sosioekonomi orang asli apabila berjaya mengeluarkan hasil yang memberangsangkan.
Hasil tinjauan telah diadakan semasa sesi lawatan ke tapak Projek Fertigasi Timun oleh pihak UMP Advanced dan ECERDC, Yayasan Petronas dan MyKasih.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato' Mohd Sharil Abdullah, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECER, Dato' Wan Mohd Hasnan Abdullah, Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Profesor Madya Dr. Ts. Hamzah Ahmad tang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced.
Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dalam ucapannya berkata, pihaknya mengucapkan tahniah atas kejayaan projek ini dan berterima kasih kepada semua rakan kerjasama yang memberi peluang kepada UMP Advanced mengendalikan projek ini untuk jalankan projek bersama komuniti.
“Kerjasama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih banyak komuniti yang mendapat manfaat dan impak daripada apa yang telah diusahakan secara bersama,” katanya.
Sesi lawatan itu turut disertai seramai 50 sukarelawan UMP KILAU bagi membantu menuai hasil tanaman timun bagi meringankan tugas peserta.
Manakala menurut Profesor Madya Dr. Ts. Hamzah, projek tanaman timun ini diusahakan di kawasan seluas 1.5 ekar di Kampung Pantos dan disertai seramai lima peserta yang terdiri daripada masyarakat orang asli.
“Projek ini bermula sejak bulan Januari lalu dan Alhamdulillah hasil telah mula dituai pada 6 April lalu dan dijangka hasil keseluruhannya boleh mencecah sepuluh tan metrik.
“Semua peserta ini akan sentiasa dibimbing dari segi penanaman, penjagaan dan teknik tuaian bagi memastikan buah timun yang dihasilkan berkualiti, katanya.
Bagi peserta program, Hasmizan Mohamad, 35, beliau mengucapkan terima kasih kepada UMP, ECERDC, Yayasan Petronas dan MYkasih yang memberi peluang beliau menyertai projek ini.
Ujarnya, menerusi projek ini beliau dapat menambah pendapatan keluarga berbanding sebelum ini hanya sebagai suri rumah.
“Selain itu juga, banyak perkara yang dipelajari bermula dari penanaman hingga menuai hasil timun,” katanya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pengurus Operasi (Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti), Yayasan Petronas, Adleen Kamaruddin dan Pengurus MYKASIH, Asha Devi serta Pengurus Komuniti ECER, Saharudin Ramli.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 136 views