PSK UMPSA perkasa staf akademik teroka potensi konsultasi
PAYA BESAR, 6 November 2026 – Staf akademik Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) didedahkan dengan strategi menterjemah kepakaran penyelidikan kepada projek konsultasi menerusi Sesi Perkongsian Pengalaman Pengurusan Latihan dan Konsultasi hari ini.
Program anjuran Bahagian Penyelidikan dan Pascasiswazah PSK itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama PSK, UMPSA Kampus Paya Besar.
Sesi bertajuk ‘Daripada Penyelidikan kepada Konsultasi: Strategi Mendapatkan, Mengurus dan Mengembangkan Projek Bersama Pihak Luar’ itu disampaikan oleh Pensyarah Kanan PSK, Profesor Madya Dr. Mahyuddin Ismail.
Beliau berkongsi pengalaman mengendalikan 15 projek konsultasi berdaftar dan 28 projek tidak berdaftar.
Beliau juga memperoleh enam geran industri, lapan geran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan menghasilkan lima kertas polisi.
Menurut beliau, konsultasi bukan sekadar menjual kepakaran, tetapi menawarkan penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi organisasi.
“Jangan bermula dengan persoalan 'Siapa mahu menggunakan khidmat saya?', tetapi tanya 'Masalah siapa yang boleh saya bantu selesaikan?',” ujarnya.
Beliau berkata, perjalanan konsultasinya bermula dengan siri kursus dan sesi bedah buku secara dalam talian pada 2021.
“Langkah kecil itu membina kepakaran dan jenama, sebelum membuka jalan kepada projek yang lebih besar.
“Proses itu seperti memancing, iaitu bermula dengan ikan kecil sebelum menyasarkan tangkapan yang lebih besar,” katanya.
Antara projek yang dikongsi ialah Projek Perundingan Pembangunan Kemahiran Forensik Sihir bersama Kementerian Hal Ehwal Agama Negara Brunei pada 2021, bernilai RM15,000.
Beliau turut mengetuai projek bersama Jabatan Agama Islam Melaka, Jabatan Agama Islam Perak, SASMEC UIAM, Hospital Pekan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah antara tahun 2022 hingga 2024.
Bagi membina jaringan, beliau berkata, ahli akademik boleh melantik wakil organisasi sasaran sebagai ahli geran penyelidikan.
“Mereka boleh dijemput sebagai peserta kursus, seminar atau bengkel.
“Kerjasama dengan institusi ternama, publisiti serta rujukan pelanggan terdahulu turut membuka peluang baharu,” ujarnya.
Beliau turut menghuraikan enam langkah memulakan projek, bermula dengan perbincangan awal bagi mengenal pasti isu hinggalah mendapatkan surat kelulusan dan memuktamadkan perjanjian.
Malah, peserta juga didedahkan dengan urusan sebut harga dan dokumentasi bersama UMPH dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi serta kaedah menetapkan harga perkhidmatan.
Menurut beliau, laporan teknikal hasil konsultasi boleh diangkat menjadi kertas polisi.
“Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bersetuju pada bulan September 2024 untuk menggunakan Instrumen Penilaian Simptom Gangguan Spiritual dalam Perkahwinan (GSP48) hasil kajian saya.
“Instrumen itu diaplikasikan oleh Bahagian Kaunseling Syar'ie dan Pembangunan Psikologi JAIS sebagai panduan membantu pasangan yang menghadapi masalah perkahwinan,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi, antaranya bajet pelanggan yang terhad, pengurusan masa antara pengajaran, penyelidikan dan konsultasi, serta kelewatan pembayaran.
Ujarnya, tidak perlu menunggu peluang datang.
“Kita perlu berusaha mencipta peluang melalui kepakaran yang kita miliki,” katanya.
Disediakan Oleh: Ahmad Ibrahim, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)
- 30 views