Skip to main content

Pusat Bahasa Moden serlahkan kreativiti dalam penciptaan bahan kitar semula

PEKAN, 25 Julai 2024 – Dalam menyokong Minggu Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pusat Bahasa Moden (PBM) telah mengadakan pameran inovasi bertemakan bahan kitar semula selama satu hari di PBM UMPSA Pekan. 

Menurut Ketua Program (Bahasa Asing) yang juga merupakan Penasihat EKSA PBM, Dr. Wan Jumani Fauzi, program itu merupakan salah satu inisiatif penting dalam mempromosikan kesedaran dan kepentingan amalan kitar semula serta penggunaan bahan terbuang dengan cara yang inovatif dan berguna. 

Pusat Bahasa Moden serlahkan kreativiti dalam penciptaan bahan kitar semula

“Hal ini demikian kerana, bahan-bahan terbuang di sekeliling kita boleh diolah semula menjadi bahan kitar semula yang mempunyai fungsi tertentu untuk digunakan semula. 

“Pameran inovasi kali ini dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu individu dan berkumpulan dengan tema masing-masing. 

“Kategori individu memfokuskan kepada tema ‘Hiasan Pejabat’.

“Peserta digalakkan untuk menunjukkan kreativiti mereka dalam penciptaan bahan kitar semula untuk dekorasi pejabat yang bukan sahaja memanfaatkan bahan terbuang tetapi berubah menjadi sebuah bentuk hiasan yang cantik dan menarik,” ujarnya. 

Tambah beliau, terdapat enam penyertaan kategori individu dengan pelbagai idea hiasan pejabat yang menarik seperti hiasan dinding pejabat, hiasan pasu tanaman hijau, hiasan bunga meja, kotak carta organisasi, kotak meletakkan alat tulis dan beg serba guna. 

“Kategori berkumpulan pula memfokuskan kepada tema ‘kemerdekaan’ dan setiap kumpulan terdiri daripada tiga hingga lima orang. 

“Menerusi kategori ini, setiap peserta digalakkan untuk menghasilkan sesuatu yang menggambarkan kemerdekaan negara ini yang bakal disambut pada bulan Ogos akan datang nanti. 

“Terdapat empat kumpulan menyertai pameran inovasi dengan tema kemerdekaan. 

“Setiap kumpulan telah menghasilkan pelbagai penciptaan bahan kitar semula seperti alat permainan, rak makanan, tempat meletakkan alat tulis, tempat meletakkan wayar serta suis, dan rumah merdeka sebagai hiasan untuk tempat mengambil gambar berlatar belakangkan unsur kemerdekaan,” katanya.

Ujarnya, penciptaan bahan kitar semula di pameran inovasi ini juga mendatangkan nilai estetik dan praktikal tersendiri. 

“Misalnya hiasan pejabat yang dihasilkan bukan sahaja memberikan alternatif kepada kos yang efektif tetapi memberikan nilai sentuhan tersendiri kepada suasana bekerja kerana dihasilkan sendiri oleh mereka untuk menghiasi pejabat sendiri. 

“Hal yang sama juga terhadap penghasilan inovasi bertemakan kemerdekaan, iaitu usaha memanfaatkan bahan terbuang masyarakat berpeluang untuk mengimbau dan menghayati semula sejarah kemerdekaan negara ini. 

“Nilai-nilai sebegini adalah selaras dengan hasrat EKSA iaitu memberikan kesedaran kepada staf tentang peranan dan tanggungjawab dalam pembudayaan EKSA, menggalakkan budaya inovasi dan memberikan ruang menzahirkan idea-idea kreatif serta mengurangkan pembaziran menerusi amalan hijau dalam perkhidmatan awam.

“Turut dipertandingkan ialah bilik terbaik, ruang kerja terbaik , tandas terbaik dan zon PBM terbaik.

“Keputusan pameran inovasi diumumkan pada bulan Ogos 2024,” katanya. 

Bagi memastikan para peserta dan kumpulan diadili dengan sewajarnya, PBM telah melantik juri-juri bukan sahaja dari PBM, malah dari jabatan lain di UMPSA.

 
Menurut ketua juri, Sariyati Nayan daripada Jabatan Pendaftar, idea-idea serta kreativiti dalam penciptaan bahan kitar semula yang ditonjolkan sama ada secara individu atau berkumpulan sangat menarik dan mempunyai potensi yang besar untuk dimanfaatkan. 

“Selain aspek kreativiti, pameran ini telah menyerlahkan komitmen dan cakna para peserta terhadap aspek kelestarian dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. 

“Usaha baik sebegini seharusnya dipuji kerana secara tidak langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berkaitan dan ke arah suasana kampus lestari selaras dengan hasrat negara ke arah Malaysia Lestari 2030,” katanya. 

Terdapat tiga orang lagi juri dijemput untuk pameran inovasi ini iaitu wakil PBM sendiri, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Dr. Fatimah Ali dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim serta Eksekutif Kanan Teknologi Maklumat, Pusat Teknologi Digital, Ts. Rosmalissa Jusoh. 

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Amy Zulaikha Mohd Ali, Dr. Wan Jumani Fauzi, Pusat Bahasa Moden

Reports by:
Admin UMP News