Raikan Syawal Riang Ria Matahari Erat Hubungan
Kuantan 11 Julai – Sekalipun Syawal sudah berada di penghujung, sambutan Hari Raya Persatuan Wanita UMP (Matahari) Universiti Malaysia Pahang (UMP) tetap meriah apabila dihadiri lebih 200 tetamu dalam majlis yang diadakan di Dewan Bankuet Canseleri UMP Pekan semalam.
Presiden Persatuan Wanita UMP (MATAHARI), Prof. Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata, majlis bertemakan Raikan Syawal Riang Ria Raya Matahari itu bertujuan mengeratkan silaturrahim dan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan ahli persatuan dan staf wanita UMP serta rakan strategik lain.
“Majlis bermula pada jam 10 pagi hingga 2 petang itu menyajikan lebih 20 menu hari raya antaranya seperti Nasi beriani, Nasi Bukhari, Laksa Penang, Cendol, Lemang Periuk Kera, Ketupat, Rendang dan sebagainya. Pertemuan ini memberi peluang ahli dari pelbagai jabatan hadir selain menjalankan aktiviti persatuan,” katanya yang ditemui dalam majlis.
Tambahnya, bagi menceriakan tetamu yang hadir turut diadakan Pertandingan Menghias Kek yang bertemakan “UMPku Sayang”. Menerusi pertandingan ini dapat mengasah bakat ahli persatuan di samping bergembira menyambut hari raya.
Selain itu juga pengunjung turut berpeluang menyaksikan Demontrasi Memasak Nasi Bukhari oleh Hatun Anvarjon yang merupakan isteri staf UMP, Prof Madya Dr. Anvarjon Ahmedov Ahatjonovich dari Uzbekistan.
Pertandingan menghias kek menyaksikan tempat pertama telah dimenangi oleh kumpulan FKEE 1 dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) manakala tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Mama Sweet dari Jabatan Bendahari dan Kumpulan Mama Terror dari Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK). Seterusnya hadiah saguhati dimenangi oleh kumpulan Red Velvet dari Jabatan Pendaftar dan kumpulan UMPLib dari Perpustakaan.
Majlis juga dimeriahkan dengan pertandingan booth tercantik yang dimenangi oleh Pejabat Naib Canselor UMP yang menghidangkan perlbagai jenis buah-buahan tempatan. Turut hadir Pendaftar yang juga Ketua Pegawai Operasi UMP, Abd Hamid Majid, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti), Prof. Dato’. Dr. Ishak Ismail dan Pengurus Besar Jabatan Penyelidikan & Inovasi merangkap Penasihat MATAHARI, Datin Sri Fazia Ali.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat.
- 61 views