Skip to main content

Rumah tangga bergolak, undang-undang sedia ruang pembelaan

PAYA BESAR, 12 November 2026 – Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan sesi Wacana Ilmiah Sains Kemanusiaan (WISK) bertajuk ‘Realiti Krisis Kekeluargaan di Mahkamah Syariah: Penyelesaian Hukum, Hak-hak Perundangan dan Keharmonian Rumah Tangga’. 


Wacana yang berlangsung secara dalam talian menerusi Google Meet pada 12 November 2026 itu menampilkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pahang, Yang Arif  Tuan Ahmad Zaim Mohamed Hassim sebagai penceramah, manakala Pensyarah Kanan PSK, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said bertindak selaku moderator.


Program anjuran PSK itu khusus untuk pelajar kursus UHE3162 Family System in Islam dan berjaya menghimpunkan seramai 60 peserta bagi mendalami realiti krisis kekeluargaan serta memahami hak dan tanggungjawab suami isteri menurut perspektif syariah. 


Pada awal sesi, Tuan Ahmad Zaim menghuraikan tiga asas rumah tangga Islam. ‘Sakinah’ bermaksud ketenangan dan rasa selamat dalam rumah tangga. 



‘Mawaddah’ merujuk kepada kasih sayang antara suami isteri dan ‘rahmah’ pula bermaksud belas kasihan, tolak ansur dan sikap saling memahami, terutamanya ketika pasangan berdepan kesusahan.


Beliau turut menjelaskan bahawa pasangan suami isteri hari ini berdepan pelbagai cabaran yang boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga. 


“Antaranya ialah masalah ekonomi, tuntutan kerjaya, kelemahan komunikasi dan pengaruh negatif media sosial.


“Penyelesaian hukum bermula dengan ruang untuk pulih melalui empat tahap rehabilitasi dan islah. 


“Tahap pertama ialah ‘muwa'azah’, iaitu saling mengingatkan tentang tanggungjawab agama dan perundangan secara berhikmah,” ujarnya. 


Katanya lagi, jika teguran secara terus tidak berkesan, pihak ketiga seperti ahli keluarga yang matang atau kaunselor di pejabat agama boleh dilibatkan sebagai orang tengah. 


“Tahap kedua ialah ‘hajr’, iaitu pengasingan tempat tidur untuk bermuhasabah tanpa mengabaikan nafkah dasar, manakala tahap ketiga ialah ‘dharb’, langkah terakhir berbentuk mendidik yang tertakluk kepada syarat syarak yang amat ketat.


“Tahap keempat ialah ‘sulh’, iaitu rundingan damai secara rasmi sebelum perbicaraan penuh yang membolehkan pasangan berbincang tentang isu nafkah, harta sepencarian dan hak jagaan anak. 


“Apabila berlaku ‘syiqaq’ (suami dan isteri berpecah belah) yang berpanjangan, mahkamah boleh melantik ‘hakam’ daripada kalangan individu berkelayakan dalam keluarga suami dan isteri untuk mengusahakan perdamaian,” jelasnya. 



Menurutnya, jika usaha pendamaian gagal, ‘hakam’ bagi pihak suami boleh diberi kuasa oleh mahkamah untuk melafazkan cerai, terutamanya apabila suami enggan melafazkan talak secara sukarela.


“Isteri perlu bersabar, namun kesabaran itu ada batasnya. 


“Sekiranya kebajikan isteri diabaikan secara berterusan, isteri berhak menuntut pembelaan di mahkamah sebagai langkah terakhir,” tambah beliau.


Tuan Ahmad Zaim turut memperincikan tiga saluran utama pembubaran perkahwinan yang boleh dipohon oleh isteri mengikut peruntukan undang-undang keluarga Islam, iaitu fasakh, khuluk atau tebus talak dan cerai taklik.


Menurut beliau, fasakh membolehkan seseorang isteri memohon pembubaran perkahwinan melalui perintah mahkamah atas alasan yang dibenarkan undang-undang, antaranya kegagalan suami memberikan nafkah selama tiga bulan, kecacatan atau penyakit serta perbuatan zalim terhadap isteri.


“Perbuatan zalim itu termasuk menyebabkan kecederaan fizikal, memaksa isteri melakukan maksiat atau mengabaikan hak isteri dalam pembahagian giliran bagi suami yang berpoligami.


“Bagi kaedah khuluk atau tebus talak pula, isteri boleh memohon perceraian dengan menawarkan bayaran pampasan kepada suami sebagai tebusan. 


“Jumlah bayaran ditentukan melalui persetujuan suami pada peringkat awal, manakala sebarang pertikaian mengenai amaunnya boleh dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan,” ujarnya. 


Sementara itu, katanya, menerusi cerai taklik, isteri berhak memohon pengesahan perceraian di Mahkamah Syariah sekiranya suami melanggar syarat yang terkandung dalam lafaz taklik, termasuk kegagalan memberikan nafkah selama empat bulan berturut-turut.


“Dalam keadaan itu, bayaran RM10 sebagaimana yang dinyatakan dalam lafaz taklik berkenaan turut menjadi sebahagian daripada syarat yang perlu dipenuhi,” jelasnya.  


Beliau juga turut menyentuh hak-hak selepas perceraian. 


Katanya, harta sepencarian iaitu aset yang diperoleh sepanjang perkahwinan, boleh dituntut selepas perceraian atau kematian. 


“Bagi kes kematian, tuntutan ini perlu diselesaikan di Mahkamah Syariah sebelum harta dibahagikan secara faraid.


“Manakala dalam isu hak penjagaan anak (hadhanah), kebajikan, keselamatan dan masa depan anak menjadi penentu mutlak. 
“Nafkah anak pula ialah tanggungjawab mutlak bapa, dan mahkamah boleh memerintahkan potongan gaji atau sitaan aset jika bapa culas membayar nafkah yang telah diperintahkan,” ujarnya. 


Di samping itu juga, Tuan Ahmad Zaim menekankan kepentingan kursus praperkahwinan sebagai benteng ilmu awal. 


Beliau menggalakkan pasangan mendapatkan kaunseling di pejabat agama dahulu sebelum membawa kes ke mahkamah. 


Kepada bakal pengantin, beliau menasihatkan supaya membuat persediaan ilmu rumah tangga dan memastikan kewangan stabil sebelum berkahwin.


Orang ramai yang memerlukan khidmat peguam juga boleh merujuk Jabatan Bantuan Guaman (JBG) atau Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang menyediakan khidmat guaman bersubsidi kerajaan. 


Sesi soal jawab turut membincangkan pelbagai isu, termasuk mencari jodoh melalui saluran yang betul, keutamaan tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak berbanding ibu bapa, hak isteri dalam poligami, dan dakwaan sihir dalam perkahwinan. 


Dalam isu sihir, beliau menjelaskan bahawa dari sudut hukum zahir, perkahwinan tetap sah selagi rukun nikah dipenuhi.


Pada akhir sesi, Tuan Ahmad Zaim berharap ilmu yang dikongsi dapat memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat dalam menguruskan krisis rumah tangga secara bijaksana.


Disediakan Oleh: Ahmad Ibrahim Dan Dr. Mohamad Hilmi Mat Said, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)

 

Reports by:
AINIEY