Skip to main content

SDC, Eco Nexus UMPSA perkasa Agenda Kelestarian di BASF PETRONAS Chemicals Open Day 2026

KUANTAN, 8 Ogos 2026 – Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh Agenda Kelestarian menerusi penglibatan sebagai pempamer dalam program BASF PETRONAS Chemicals Open Day & Global Safety Days 2026 di Gebeng baru-baru ini bagi menjayakan pelbagai aktiviti berkaitan kelestarian.

Penyertaan itu membabitkan 20 sukarelawan staf dan pelajar daripada Kelab Eco Nexus UMPSA yang bersama-sama menjayakan pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian, antaranya aktiviti SDGs Awareness, EcoCraft,  DIY Soap Making dan Teknologi Solar Panel. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, Tuan Ahmad Fauzi Awang. 

Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain, merakamkan penghargaan kepada pihak BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. kerana menjemput UMPSA untuk menyertai program berkenaan. 

SDC, Eco Nexus UMPSA perkasa Agenda Kelestarian di BASF PETRONAS Chemicals Open Day 2026

Ujarnya, jemputan itu bukan sahaja membuka ruang kepada UMPSA untuk berkongsi inisiatif dan kepakaran dalam bidang kelestarian, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan usaha universiti dalam memperkasakan mahasiswa sebagai pemimpin muda yang mempunyai kesedaran terhadap alam sekitar dan pembangunan mampan.

“Kami amat menghargai kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh BASF PETRONAS Chemicals kepada UMPSA untuk bersama-sama dalam program ini. 

“Platform seperti ini amat bermakna kerana ia membolehkan universiti berkongsi ilmu, pengalaman dan inisiatif kelestarian secara lebih dekat dengan komuniti serta pihak industri.

“Pada masa sama, penglibatan pelajar Kelab Eco Nexus UMPSA turut memberi mereka pengalaman berharga untuk berinteraksi dengan masyarakat, berkongsi pengetahuan berkaitan SDGs serta mengembangkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerjasama antara universiti dan industri amat penting dalam memastikan Agenda Kelestarian tidak hanya dilaksanakan di peringkat institusi, sebaliknya dapat diterjemahkan melalui tindakan dan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam program berkenaan, Ketua Kluster Energy & Climate Change UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Amir Abdul Razak  turut berkongsi kepakaran berkaitan teknologi solar kepada pengunjung, khususnya mengenai potensi penggunaan tenaga solar sebagai salah satu alternatif tenaga bersih dalam menyokong kelestarian dan peralihan tenaga. 

Hadir sama Jurutera Kanan UMPSA merangkap Jawatankuasa Kluster Energy & Climate Change Ts. Mohd Nurulakla Mohd Azlan. 

Perkongsian tersebut turut memberi nilai tambah kepada penyertaan UMPSA apabila pengunjung berpeluang mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai perkembangan teknologi tenaga boleh baharu serta kepentingannya dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Sementara itu, penglibatan Kelab Eco Nexus UMPSA melalui aktiviti interaktif seperti EcoCraft dan DIY Soap Making berjaya menarik perhatian pengunjung, selain menjadi medium untuk menerapkan amalan kelestarian secara kreatif dan mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Program BASF PETRONAS Chemicals Open Day & Global Safety Days 2026 itu dihadiri lebih 1,500 pengunjung terdiri daripada kakitangan serta keluarga mereka, wakil kerajaan, pihak berkuasa tempatan, rakan industri dan masyarakat setempat. 

Pengarah Urusan BASF PETRONAS, Tan Aik Meam berkata, program yang berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang itu memberi peluang unik kepada para pengunjung untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai operasi syarikat, piawaian keselamatan, inisiatif kelestarian, serta sumbangan BPC terhadap pembangunan ekonomi dan sosial di rantau ini.

“Konsep ‘Desa Halaman’ yang diilhamkan daripada suasana kampung telah mewujudkan persekitaran yang mesra dan inklusif buat pengunjung pelbagai lapisan umur,” katanya. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri