Seminar Kepimpinan Wanita beri inspirasi pengurusan berkesan dalam kalangan NGO wanita negeri Pahang
KUANTAN, 14 Jun 2025 – Seramai lebih 50 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita telah menghadiri Seminar Kepimpinan Wanita Dalam NGOs: Santai Tapi Sampai yang berlangsung di Dewan Bakawali, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Kuantan.
Seminar itu dirasmikan oleh Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang, Mazlina Mohamad@Mohamed Lazim dan dilaksanakan oleh gabungan tenaga akademik yang diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Salina Daud, bersama pensyarah lain termasuk Dr. Suhaidah Hussain, Dr. Norwazli Abdul Wahab, Dr. Nur Sofia Nabila Alimin, Ts. Dr. Norhana Mohd Aripin, dan Dr. Rusnifaezah Musa dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI).
Turut hadir Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim yang mewakili Naib Canselor, UMPSA.
Seminar anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan National Council of Women’s Organisations (NCWO) Cawangan Pahang itu merupakan salah satu daripada hasil Geran Komuniti UMPSA yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), UMPSA, Profesor Dato’ Dr. Salina Daud.
Menurut Profesor Dato’ Dr. Salina, program ini memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti wanita dalam menerajui NGO melalui tiga modul utama iaitu Gaya Komunikasi Kepimpinan Wanita, Wanita dan Pengurusan Berkesan, serta Asas Pengurusan Kewangan NGO.
“Antara objektif utama seminar adalah untuk mengukuhkan kefahaman terhadap komunikasi dalaman dan luaran, meningkatkan profesionalisme dan keberkesanan pengurusan wanita dalam NGO dan memberi panduan praktikal dalam pengurusan kewangan, bajet dan aliran tunai.
“Seminar ini bukan sahaja membuka ruang untuk perkongsian ilmu dan kemahiran tetapi turut membina jaringan kolaborasi antara NGO wanita di Pahang dan negeri-negeri berdekatan.
“Ia juga adalah sejajar dengan agenda nasional dalam memperkasa wanita melalui program pembangunan kapasiti dan kepimpinan komuniti,” ujarnya.
Katanya, seminar itu turut membuktikan bahawa pendekatan yang santai tetapi sampai, praktikal dan berorientasikan tindakan mampu memberi kesan besar dalam memperkukuh peranan wanita sebagai ejen perubahan masyarakat.
“Melalui pendekatan yang interaktif dan penuh pengisian, seminar tersebut diakhiri dengan seruan kepada semua peserta untuk terus melangkah dan memimpin perubahan dalam komuniti masing-masing dengan semangat ‘Wanita Hebat, NGO Kuat - Santai Tapi Sampai!.
“Modul iaitu ‘Komunikasi: Kunci Kepimpinan Berkesan’ mengetengahkan kepentingan komunikasi dalam memimpin NGO.
“Peserta mempelajari teknik komunikasi lisan dan bukan lisan yang berkesan, serta pendekatan santai tetapi tepat menyampaikan mesej di media sosial seperti WhatsApp dan Facebook,” tambahnya.
Modul kedua pula iaitu ‘Wanita dan Pengurusan Cekap: Realiti dan Cabaran’ yang dikongsikan oleh Dr. Suhaida.
Dr. Suhaida berkata, statistik menunjukkan bahawa walaupun wanita mewakili lebih 70 peratus ahli NGO, kurang daripada 30 peratus berada di posisi tertinggi.
“Modul ini menyerlahkan peranan wanita sebagai pengurus strategik yang membawa elemen empati, inklusif, dan integriti dalam pembangunan masyarakat.
“Mengurus dengan empati dan fleksibel, sentiasa positif dan kreatif.
“Memimpin dengan hati, beraksi untuk komuniti.
“Komunikasi bukan sekadar kata-kata,” ujarnya.
Katanya lagi, ia adalah ekspresi muka, nada suara dan bahasa badan membentuk persepsi masyarakat.
Modul ketiga iaitu ‘Wang Bukan Segalanya, Tapi Segalanya Perlukan Wang’ telah disampaikan oleh Dr. Norwazli yang menjelaskan pentingnya rekod telus, bajet berhemah, serta pemantauan aliran tunai bagi menjamin kepercayaan penderma dan kelangsungan program.
“NGO yang mengurus kewangan dengan baik bukan sahaja diyakini penderma, tetapi juga mampu bertahan jangka panjang,” katanya.
Disediakan Oleh: Profesor Dato’ Dr. Salina Daud, Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
- 128 views