Skip to main content

Seni tari penyatu komuniti, UMPSA perkasa bakat seni pelajar SK Chini 2 dan SMK Chini 2

KUANTAN, 18 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pemerkasaan komuniti menerusi kerjasama strategik bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chini 2, Pahang bagi memberikan latihan, bimbingan serta pembangunan bakat kepada pelajar dalam bidang seni dan kebudayaan. 

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mengembangkan bakat seni dalam kalangan generasi muda, malah menjadi platform perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman warga universiti kepada masyarakat setempat.

Melalui kerjasama dengan sekolah, Pusat Kebudayaan UMPSA dapat membantu mencungkil bakat baharu, memupuk minat terhadap seni dan budaya serta memperkasakan pembangunan sahsiah pelajar melalui aktiviti yang positif dan berimpak tinggi. 

Program seperti ini menjadi wadah kepada pelajar sekolah untuk mendapat bimbingan secara profesional, memupuk disiplin, dan latihan dalam persembahan seni yang terancang.

Seni tari penyatu komuniti, UMPSA perkasa bakat seni pelajar SK Chini 2 dan SMK Chini 2

Kerjasama antara Pusat Kebudayaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan SK Chini 2 dan SMK Chini 2 telah bermula sejak tahun 2023 dan kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya. 

Kolaborasi ini bermula sekitar tahun 2023 menerusi program Festival Seni Untuk Semua (FASUS) sebelum dijenamakan semula sebagai Tarian Sekolah-sekolah Malaysia (TA’SEEM).

Penglibatan Pusat Kebudayaan UMPSA sebagai rakan strategik telah membuka ruang kepada pelajar untuk menerima bimbingan yang lebih profesional melalui perkongsian ilmu, kepakaran serta pengalaman daripada penasihat kelab tarian di UMPSA. 

Kerjasama yang terjalin ini turut membantu mewujudkan hubungan yang lebih erat antara pihak sekolah dan UMPSA dalam usaha memperkasa pembangunan bakat pelajar.

Sepanjang tempoh kerjasama tersebut, pelbagai usaha telah diterapkan seperti latihan intensif, khidmat nasihat berkaitan teknik tarian, penyusunan koreografi, penambahbaikan persembahan serta aspek teknikal bagi memastikan pelajar dapat memperkemaskan kemahiran dan kualiti persembahan. 

Selain itu, kemudahan fasiliti seperti Studio Tarian turut memberi nilai tambah kepada pelajar-pelajar kerana ruang yang luas dan selesa untuk berlatih. 

Usaha berterusan ini turut menyumbang kepada pencapaian cemerlang sekolah dalam pertandingan TA’SEEM apabila berjaya mengekalkan kejuaraan sejak tahun 2023 hingga 2025. 

Pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara sekolah dan UMPSA dalam membangunkan bakat seni serta meningkatkan prestasi pelajar dalam bidang kebudayaan.

Menurut guru Unit Kebudayaan SK Chini 2, Datin Azizah Abdul Wahab, penglibatan UMPSA sebagai rakan strategik telah membuka ruang kepada pelajar untuk menerima bimbingan secara lebih profesional.

“Saya melihat pelajar lebih terbuka apabila berinteraksi dengan pihak UMPSA berbanding hanya menerima tunjuk ajar daripada guru di sekolah. 

“Dari situ bermulanya hubungan yang rapat antara sekolah dan UMPSA. 

“Selain itu, sebelum ini kami memang sudah ada kekuatan dari segi bakat, tetapi mungkin tidak mempunyai panduan yang betul. 

“Selepas mendapat bimbingan dari Warga Pusat Kebudayaan UMPSA, kami lebih memahami aspek teknikal dan dapat menerapkannya dalam latihan pelajar,” ujarnya.

Manakala, Pegawai Kebudayaan UMPSA merangkap Penasihat Tarian, Shahrul Nizam Othman berkata, hasil daripada kerjasama ini ia dapat menunjukkan tahap peningkatan yang ketara dari segi kualiti persembahan dan disiplin para pelajar dalam menghasilkan persembahan tarian yang memukau. 

“Malah, bukan sahaja berjaya mendominasi pelbagai persembahan tarian, malah muncul sebagai juara bertahan pertandingan TA'SEEM.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa usaha berterusan dalam melatih dan membimbing bakat muda telah membuahkan hasil yang membanggakan.

“Mereka turut berpotensi menjadi duta kecil seni dan budaya Negeri Pahang dengan mempersembahkan warisan tarian tradisional kepada masyarakat, sekali gus menyemarakkan usaha memelihara dan memartabatkan khazanah budaya negara dalam kalangan generasi muda,” tambahnya. 

Jelas Shahrul Nizam lagi, apabila universiti turun padang berkongsi kepakaran dengan sekolah, impaknya jauh lebih besar daripada sekadar menghasilkan sebuah persembahan yang baik. 

“Kami mahu membina satu ekosistem pembelajaran seni yang memberi peluang kepada murid dan pelajar mengenali potensi diri, menghargai budaya serta berani mencabar kemampuan masing-masing. 

“Dengan adanya aktiviti kokurikulum yang sihat ini dapat menjauhkan pelajar-pelajar daripada terjebak dengan masalah sosial yang menjadi kebimbangan masyarakat hari ini. 

“Sepanjang empat tahun kerjasama ini, kami dapat melihat bagaimana program seni dan budaya menjadi medium yang positif dalam membentuk kehidupan pelajar,” ujarnya. 

Katanya, komitmen mereka terhadap latihan yang dijalankan secara intensif dan berterusan, bukan sahaja mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat, malah membantu mengurangkan kecenderungan mereka terhadap gejala sosial. 

“Apa yang lebih membanggakan, pelajar-pelajar ini turut menunjukkan kesungguhan untuk mengekalkan prestasi dalam akademik di samping cemerlang dalam bidang kokurikulum. 

“Kejayaan inilah yang membuktikan bahawa seni mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan yang holistik,” jelas beliau. 

Di samping itu, menurut Presiden Kelab Kencana Pawana yang merupakan pelajar tahun 4, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Nurfarhan Hakim Mahdon berkata, penglibatan dirinya dengan pelajar SK Chini 2 dan SMK Chini 2 bermula pada tahun 2025 apabila beliau berpeluang menyaksikan persembahan mereka buat kali pertama.

Beliau juga turut  memberikan masa dan pengalamannya dalam aktiviti tarian kepada pelajar-pelajar sekolah tersebut ketika latihan berlangsung di UMPSA.

“Saya sangat kagum dengan persembahan mereka. 

“Pada masa itu, saya dapat melihat potensi yang besar dalam kalangan pelajar dan ada antara mereka yang telah mewakili pertandingan di peringkat kebangsaan. 

“Program tersebut turut memberi manfaat kepada para pelajar sekolah berkenaan, khususnya dari aspek kemudahan latihan,” katanya. 

Tambah Nurfarhan Hakim, Studio Pusat Kebudayaan dilengkapi dengan fasiliti yang lebih lengkap dan selesa, sekali gus menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan sesi latihan dijalankan dengan lebih berkesan. 

“Di sekolah, mereka tidak mempunyai cermin untuk melihat pergerakan dan postur semasa latihan. 

“Maka, apabila datang ke studio tarian kami, mereka dapat menggunakan ruang tarian yang lebih luas dan selesa. Malah, ini membantu mereka mengenal pasti kesilapan dan membuat penambahbaikan dengan lebih berkesan. 

“Kelab Kencana Pawana sentiasa aktif mewakili UMPSA dalam pelbagai pertandingan tarian di peringkat universiti dan kebangsaan,” katanya.

Malah, jelas beliau lagi, jalinan kerjasama bersama SK Chini 2 dan SMK Chini 2 ini mencerminkan komitmen kelab dalam memperluas jaringan komuniti, di samping memberi peluang kepada ahlinya untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran dalam bidang seni tari kepada masyarakat setempat. 

Sebagai individu yang menjadi penghubung antara UMPSA dengan SK Chini 2 dan SMK Chini 2, Presiden Kelab Kencana Pawana, Nurfarhan Hakim memainkan peranan penting dalam menyelaras penglibatan kelab bagi menjayakan program khidmat komuniti tersebut. 

Menerusi koordinasi yang dilaksanakan, beliau berjaya menghimpunkan kepakaran ahli Kelab Kencana Pawana untuk membimbing pelajar kedua-dua buah sekolah dalam bidang seni tari, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan komuniti melalui pemerkasaan seni dan budaya.

Pemilihan Pusat Kebudayaan UMPSA sebagai lokasi latihan oleh SK Chini 2 dan SMK Chini 2 membuktikan peranan universiti sebagai platform strategik dalam menyokong pembangunan seni dan budaya di peringkat komuniti. 

Melalui kemudahan yang kondusif, kepakaran yang dimiliki serta penglibatan aktif Kelab Kencana Pawana, UMPSA bukan sahaja menjadi pusat latihan bagi mengasah bakat generasi muda, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada usaha memelihara dan memperkasa warisan seni budaya negara. 

Jalinan kerjasama seperti ini diharapkan dapat diteruskan sebagai wadah dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti, di samping menyemai minat serta melahirkan lebih ramai generasi muda yang menghargai, menghayati dan meneruskan kelangsungan seni budaya sebagai sebahagian daripada identiti bangsa.

Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri