SheLeads 2026 platform perkasa bakat dan pembangunan kepimpinan wanita
BANDAR ENSTEK, 22 Jun 2026 - Kepimpinan wanita terus diangkat sebagai agenda penting dalam pembangunan negara menerusi peluncuran program SheLeads 2026 yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman yang hadir mewakili Menteri KPT, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).
Hadir sama Penasihat SheLeads dan Ahli Lembaga Penasihat AKEPT, Tan Sri Zarinah Anwar dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Dr. Harshita Aini Haroon.
Menurut Datuk Profesor Dr. Azlinda, berdasarkan UNESCO, wanita mewakili kira-kira 45 peratus daripada tenaga akademik seluruh dunia.
“Namun, wanita masih kurang dalam jawatan kepimpinan tertinggi dengan hanya sekitar 30 peratus jawatan kepimpinan utama dipegang oleh wanita di peringkat global.
“Landskap pendidikan tinggi di Malaysia turut mencerminkan cabaran yang sama apabila daripada 20 universiti awam (UA), hanya dua yang diterajui oleh Naib Canselor wanita.
“Manakala dalam sektor politeknik dan kolej komuniti, wanita hanya memegang 22 daripada 96 jawatan pengarah institusi/bahagian di seluruh negara,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, jurang kepimpinan ini bukan sekadar isu kesaksamaan.
“la mencerminkan potensi bakat yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan mengehadkan kepelbagaian perspektif yang diperlukan untuk tadbir urus yang berkesan dan kecemerlangan institusi,” katanya.
Pihaknya menghargai komitmen AKEPT yang memulakan langkah memperkenalkan She Leads, sebuah platform kepimpinan nasional yang bermatlamat untuk membangunkan, menghubungkan dan memperkasa ahli akademik serta pentadbir wanita di institusi pendidikan tinggi Malaysia.
Turut berlangsung penganjuran forum bertajuk ‘Memimpin Melangkaui Batasan: Pemimpin Wanita sebagai Pemangkin Perubahan’ yang menghimpunkan tokoh-tokoh wanita dan pemimpin korporat berpengalaman bagi berkongsi pandangan,pengalaman serta strategi dalam memperkasa peranan wanita sebagai agen perubahan dalam pelbagai sektor.
Forum menampilkan Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang merupakan Naib Canselor keenam Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan wanita pertama yang dilantik menerajui UMPSA.
Beliau turut mencipta sejarah sebagai antara profesor termuda di Universiti Malaya (UM) apabila dilantik ke jawatan profesor pada tahun 2010, pada usia 40 tahun.
Sebagai ahli akademik dan penyelidik, beliau diiktiraf sebagai Fellow of the Royal Society of Chemistry (FRSC) dan disenaraikan dalam World’s Top 2% Scientists oleh Elsevier–Stanford University pada tahun 2024.
Berpaksikan nilai integriti, kecemerlangan, inovasi dan pembangunan bakat, Profesor Ts. Dr. Yatimah beraspirasi untuk menjadikan UMPSA sebagai the Advanced TVET Hub in Asia Pacific menjelang tahun 2030 dan universiti teknikal tersohor di peringkat global.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, dengan dunia yang penuh dengan ketidakpastian, nilai menjadi kompas yang memandu keputusan kita melibatkan daya tahan, keberanian, empati dan keaslian diri.

“Wanita hari ini perlu berani memanfaatkan peluang dalam bidang kepimpinan, teknologi, pendidikan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Usaha memperkasakan wanita juga memerlukan komitmen berterusan daripada organisasi, institusi pendidikan dan pembuat dasar bagi memastikan peluang yang saksama dapat diwujudkan,” katanya.
Forum turut menampilkan Yang Berbahagia Datuk Zunaidah Idris sebagai Pengasas dan Naib Pengerusi, Women Leadership Foundation (WLF).
Beliau merupakan tokoh korporat dan kepimpinan wanita yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang perbankan pelaburan, pasaran modal dan perancangan strategik.
Kepakaran beliau terbukti melalui keupayaan memimpin pasukan dalam menghadapi cabaran kewangan besar dan membina hubungan kukuh dengan pihak industri, pemegang taruh serta institusi profesional.
Selain berperanan sebagai Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM), jurulatih akreditasi HRDCorp dan ahli panel penasihat pelbagai organisasi, beliau turut aktif merapatkan hubungan antara akademia, industri dan pembangunan bakat.
Sumbangan beliau melalui Women Leadership Foundation, Women Leadership Endowment Fund Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelbagai inisiatif kepimpinan wanita, termasuk program seperti Sarawak Women of Tomorrow yang membimbing lebih 50 wanita daripada 17 syarikat, menunjukkan komitmen tinggi beliau dalam memperkasakan pemimpin wanita serta generasi muda.
Ketua Pegawai Pembangunan Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pembangunan (CGO) di Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM), Zadil Hanief Mohamad Zaidi turut menjadi panel forum pada program tersebut.
Zadil mempunyai pengalaman profesional lebih 25 tahun di pelbagai sektor merangkumi pembangunan hartanah, sektor awam / dermawan, produk pengguna, perundingan strategi dan minyak dan gas.
Kepakaran beliau meliputi pelaksanaan strategi, transformasi organisasi dan komunikasi strategik.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah bagi beberapa anak syarikat kepada entiti senaraian awam serta turut terlibat secara langsung di dalam beberapa program transformasi di peringkat nasional dan entiti korporat.
Turut membariskan panelis berwibawa, forum berkenaan menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn Sdn. Bhd., Dr. Norilmi Amilia Ismail, yang juga merupakan seorang jurutera angkasa, usahawan dan pendidik yang pakar dalam sistem Internet Kebendaan (IoT) berasaskan satelit serta teknologi satelit kecil.
Beliau kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan sebagai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceIn Sdn. Bhd., yang menerajui pembangunan penyelesaian IoT nanosatelit berkos rendah yang menyediakan kesalinghubungan untuk pelbagai sektor seperti pertanian, perhutanan serta minyak dan gas.
Pada tahun 2023, SpaceIn berjaya melancarkan satelit demonstrasi teknologi pertamanya ke angkasa menerusi roket SpaceX.
Sesi forum dikendalikan oleh Penolong Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Profesor Dr. Yvonne Lim Ai Lian, manakala Timbalan Pengarah AKEPT, Profesor Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan bertindak sebagai moderator bersama.
Dalam forum itu, para panel menekankan bahawa kepimpinan wanita bukan sahaja penting dalam memperkukuh organisasi, malah berupaya membawa perspektif baharu yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global.
Mereka turut berkongsi pengalaman mengharungi pelbagai cabaran dalam kerjaya dan kepentingan membina jaringan sokongan serta budaya kerja yang menyokong pembangunan bakat wanita.
Program SheLeads 2026 melibatkan 44 peserta dengan sepuluh mentor merupakan platform bagi menggalakkan pembangunan kepimpinan wanita, memperkukuh jaringan profesional serta memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan pemimpin masa hadapan.
Forum ini turut menjadi medan pertukaran idea dan amalan terbaik dalam usaha memperkasakan wanita sebagai pemangkin perubahan yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat serta negara.
Penganjuran program SheLeads 2026 mencerminkan komitmen berterusan KPT menerusi AKEPT dengan kerjasama UM dan Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa, berdaya saing serta bersedia menerajui perubahan sejajar dengan aspirasi pembangunan pendidikan tinggi negara.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 49 views
Reports by: