Simposium ProSES teroka bidang kejuruteraan kimia proses
Kuantan, 13 September – Penganjuran Simposium Process Systems Engineering And Safety (ProSES) 2019 bertemakan ‘Process Modelling and Simulation’ ke arah Revolusi Industri (IR4.0) berjaya mengumpulkan para akademia, pakar industri dan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam meneroka bidang berkaitan teknologi kejuruteraan kimia dan proses juga lain-lain berkaitan.
Ianya menyaksikan sebanyak 60 kertas kerja mengenai permodelan dan simulasi dibentangkan dalam program yang berlangsung di Hotel Vistana, Kuantan anjuran Process Systems Engineering and Safety Research Group, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) melibatkan penyertaan lebih 70 peserta.
Hadir merasmikan program, Dekan Inovasi Industri Jabatan Penyelidikan & Inovasi, Prof. Madya Dr. Abdul Adam Abdullah yang turut dihadiri Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) FTKKP, Prof. Madya Ts. Dr. Sumaiya Zainal Abidin@Murad.
Prof. Madya Dr. Abdul Adam dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan penganjuran simposium yang buat pertama kalinya diadakan. Ujarnya, kertas pembentangan ini akan diterbitkan dalam Jurnal Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Industri (JCEIB-indexed Journal) dan IOP Material Science And Engineering (Scopus indexed proceeding).
“UMP komited dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan dalam sistem proses kejuruteraan dan keselamatan yang berkaitan dengan bahan kimia, biologi, proses pengolahan mineral, minyak, gas dan farmaseutikal,” ujarnya.
Pihak fakulti juga banyak terlibat dalam projek gelatin halal, penghasilan kapsul yang halal dan produk makanan tambahan yang dikenali sebagai microcrystalline cellulose hasil kerjasama bersama Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang.
Selain itu, UMP juga berjaya mendapat RM10 juta daripada pihak kerajaan menerusi geran Penyelidikan Fundamental (FGRS) dan RM2 juta daripada jumlah tersebut disumbangkan kepada fakulti.
Sementara itu, menurut pengarah program Dr-Ing. Mohamad Rizza Othman berkata, simposium ini dianjurkan untuk berkongsi teknologi serta penyelidikan terkini dalam bidang pemodelan proses dan simulasi serta memperkukuhkan kerjasama antara penyelidik dan industri.
Selain itu juga ianya merupakan platform ahli-ahli akademik dan industri membentangkan hasil kerja mereka serta berkongsi pengalaman dalam bidang pemodelan proses dan simulasi.
Beliau berharap ianya akan menimbulkan minat pada penyelidik terutama dalam kepentingan proses simulasi dalam era IR4.0 dan apabila ia telah berkembang dapat dilaksanakan di industri untuk lebih berdaya saing.
Hadir menyampaikan ucaptama iaitu Prof. Ir.Dr. Haslenda Hashim dari Univerisiti Teknologi Malaysia. Baginya selama ini para penyelidik telah banyak membuat penyelidikan sebagai persediaan berdepan era IR 4.0 iaitu dari sekecil-kecil penyelidikan yang melibatkan molekul sehinggalah yang boleh digunakan dalam industri.
Turut menyampaikan ucaptama, Prof. Dr Azmi Mohd Shariff dari Universiti Teknologi Petronas yang menasihatkan para penyelidik dapat menghasilkan penyelidikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 183 views