Skip to main content

SKFKKS 2026 perkukuh jaringan profesional perpustakaan universiti awam

PEKAN, 14 September 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan Seminar Kumpulan Fokus Khas Kejuruteraan dan Seni Bina (SKFKKS 2026) yang berlangsung selama dua hari, dari 14 hingga 15 September 2026, bertempat di Kompleks Ilmuwan, UMPSA Pekan.

Mengangkat tema ‘Transformasi Perpustakaan Kejuruteraan dan Seni Bina Menuju Keterbukaan Ilmu dan Inovasi’, seminar ini memberi tumpuan kepada empat subtema utama, iaitu Dasar Sains Terbuka; Inovasi dan Kreativiti dalam Pengurusan Perpustakaan; Kecerdasan Buatan dan Teknologi; serta Jaringan Kerjasama Komuniti dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan dengan penglibatan 38 peserta yang terdiri daripada pustakawan dan ahli Kumpulan Fokus Khas Kejuruteraan dan Seni Bina (KFKKS) daripada 16 universiti awam (UA), sekali gus menyediakan ruang untuk pertukaran pengetahuan, pengalaman serta perkembangan terkini dalam bidang kepakaran masing-masing.

Pembentangan tersebut turut menjadi wadah perkongsian amalan terbaik dan pengalaman, selain mencetuskan percambahan idea serta memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan peserta bagi memperkasa peranan perpustakaan akademik seiring dengan keperluan dan perkembangan semasa.

Majlis perasmian SKFKKS 2026 telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Jaringan Industri dan Masyarakat), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, dan turut diserikan dengan tayangan montaj seminar serta peluncuran aplikasi mudah alih LibGO.

SKFKKS 2026 perkukuh jaringan profesional perpustakaan universiti awam

Ketua Pustakawan Perpustakaan UMPSA, Kamariah Gono merangkap Pengerusi Kumpulan Fokus Khas Kejuruteraan dan Seni Bina (KFKKS) berkata, kumpulan tersebut perlu terus memperkukuh peranannya dalam meningkatkan kompetensi pustakawan serta memberikan impak positif terhadap perkhidmatan perpustakaan dalam bidang kejuruteraan dan seni bina.

“Besar harapan saya agar KFK Kejuruteraan dan Seni Bina terus bergerak secara positif dan berdaya saing dalam merancang serta melaksanakan aktiviti dan program yang memberi nilai tambah kepada pembangunan profesional pustakawan, di samping memperkukuh peranan mereka dalam mendepani keperluan semasa bidang kejuruteraan dan seni bina,” ujarnya. 

Pengucaptama seminar, Ketua Pustakawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Pengerusi Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA), Datin Nor Azzah Momin berkata, penganjuran seminar tersebut memberikan manfaat besar melalui perkongsian amalan terbaik dan pengalaman daripada universiti yang terlibat.

“Seminar ini amat bermanfaat kerana menjadi platform untuk ahli Kumpulan Fokus Khas berkongsi amalan terbaik dan pengalaman daripada universiti masing-masing, di samping memperluas perspektif melalui penglibatan pembentang daripada luar Kumpulan Fokus Khas.

“Bagi penganjuran akan datang, pengumuman awal amat penting supaya peserta mempunyai tempoh persediaan yang mencukupi untuk tampil sebagai pembentang dan berkongsi amalan terbaik mereka,” katanya.

Manakala menurut peserta merangkap ahli KFK Kejuruteraan dan Seni Bina, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Hanani Rojikin, seminar ini memberi peluang kepada peserta untuk memperluas pengetahuan menerusi pertukaran idea dan pengalaman.

“Seminar ini sangat bermanfaat kerana membuka ruang percambahan idea, perkongsian pengalaman serta penambahan ilmu dalam kalangan pustakawan.

“Penganjurannya amat baik, tersusun dan wajar diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Penganjuran SKFKKS 2026 bukan sahaja memperkukuh jaringan profesional dan budaya perkongsian ilmu, malah membuka ruang kepada penerokaan idea serta amalan baharu yang berpotensi diterjemahkan kepada inovasi dan peningkatan kualiti perkhidmatan perpustakaan akademik, sekali gus memperkasa warga perpustakaan dalam mendepani perubahan serta keperluan masa hadapan.

Disediakan Oleh: Wan Nurulhuda Wan Zakaria, Perpustakaan UMPSA

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri