Sukarelawan MASKUM UMP Curah Bakti di Bumi Aceh
Aceh, 5 Disember- Seramai 12 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) menjalankan aktiviti khidmat sosial dan menceriakan persekitaran rumah anak yatim dengan membina produk lanskap kerusi dan meja simen ferro di Rumah Anak Yatim Mukanol Udubiyah di Aceh.
Mereka turut berkongsi pengalaman dengan bergotong-royong membuat keropok lekor untuk dihidangkan kepada penghuni di rumah anak yatim yang menempatkan seramai 50 orang penghuni. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada program Aceh Global Exploration anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang mendapat sokongan daripada pihak UMP Eco Pest Sdn. Bhd dan Kenz Trans & Travel Sdn. Bhd.
Bagi pengarah program, Siti Aishah Darmawanshah dari Fakulti Pengurusan Industri, sungguhpun persiapan telah dibuat sebelum program, namun mereka juga berdepan dengan cabaran terutamanya dalam mendapatkan bahan untuk binaan memandangkan bahan yang digunakan agak berbeza berbanding di Malaysia.
“Cabaran ini memberikan kami peluang mempelajari perkara baharu termasuklah penggunaan pasir, batu-bata, kerangka yang digunakan di sini. Namun kami berpuashati apabila berjaya menyiapkan kerusi dan meja ini dalam tempoh dua hari sahaja dan dapat digunakan untuk anak-anak di sini,” katanya.
Sukarelawan turut berpeluang bertemu dengan seramai 40 orang penghuni di Rumah Anak Yatim Cinta Kasih. Selain mengadakan program motivasi mereka juga menggembirakan anak-anak dengan aktiviti berkumpulan juga menyumbang kipas dan alat pembasmi serangga Pest Killa untuk membantu penghuni di sini.
Sementara itu bagi Eksekutif Kanan JHEPA, Abd Rahman Ahmad yang merupakan penasihat program berkata, program ini dapat meningkatkan kemahiran serta mempraktikkan apa yang dipelajari dalam sesi pembelajaran serta meningkatkan kreativiti mahasiswa. Mereka sendiri turun padang untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat dan menyokong terhadap agenda UMP dalam memasyarakatkan teknologi.
Dalam pada itu mereka turut berpeluang bertukar-tukar pengalaman dengan mahasiswa Universitas Syiah Kuala hasil kunjungan ke universiti itu
- 107 views