Sukarelawan UMP bergotong-royong bersihkan rumah akibat banjir
MARAN, 5 Januari 2021 – Banjir yang mula surut di daerah Maran, Pahang memberi ruang buat sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk turun padang bagi membantu membersihkan rumah staf universiti yang dilanda banjir dengan keadaan rumah yang berlumpur, selain mengalami kerosakan barangan dan perabot.
Bagi meringankan beban berkenaan, seramai 15 orang staf daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan sukarelawan UMP bergotong-royong membantu membersihkan kediaman milik Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Mohd Iszuani Mohd Hassan yang menghidap penyakit strok akut sejak beberapa tahun lalu di Taman Maran Jaya.
Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri, yang turut sama menyertai aktiviti kesukarelawanan ini berkata, walaupun berdepan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu, keselamatan tetap menjadi keutamaan buat sukarelawan.
“Ia tidak menjadi halangan buat sukarelawan UMP menghulurkan bantuan meringankan bebanan staf yang diuji dengan musibah banjir yang melanda beberapa daerah di negeri Pahang sejak beberapa hari lalu.
“Kebanyakan barang-barang rumah musnah akibat banjir dan mereka ini juga akan berdepan dengan sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.
“Apabila dimaklumkan tentang keperluan sukarelawan oleh Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP, saya dan beberapa rakan lain segera menghubungi Bilik Gerakan Bencana UMP untuk turut serta,” katanya.
Dalam pada itu, Yayasan UMP sedang mengumpulkan sumbangan Bantuan Kemanusiaan Tabung Bencana UMP sebagai bantuan kecemasan yang mensasarkan keperluan asas harian, barangan dapur, kelengkapan selimut, peralatan kebersihan buat staf dan mahasiswa UMP yang terkesan akibat bencana banjir ini.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Pegawai Yayasan UMP (019-9352013) atau menghulurkan sumbangan menggunakan No. Akaun Yayasan UMP: MBB 556235317085 atau melalui Portal Yayasan UMP.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 199 views