Sukarelawan UMPSA Kilau dan APM laksanakan Program Pascabanjir di PPS Mat Kilau dan Jaya Gading
KUANTAN, 23 Disember 2025 - Seramai 15 orang sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) KILAU telah terlibat secara aktif dalam Program Pascabanjir yang diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Mat Kilau dan PPS Sekolah Kebangsaan Jaya Gading.

Program ini merupakan salah satu inisiatif kemanusiaan bagi membantu kerja-kerja pembersihan serta pemulihan awal di kawasan yang terjejas akibat bencana banjir, khususnya di PPS.
Turut hadir Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman dan Timbalan Pengarah APM Negeri Pahang, Lt. Kol. (PA) Ahmad Fazli Mohamad.
Kerjasama erat antara sukarelawan UMPSA KILAU dan APM bukan sahaja mempercepatkan proses pemulihan pascabanjir, malah memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi dan agensi pengurusan bencana.
Sukarelawan UMPSA KILAU telah digerakkan melalui penglibatan staf dan pelajar, sekali gus mencerminkan semangat kesukarelawanan serta komitmen tinggi sukarelawan UMPSA KILAU dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Inisiatif itu turut memberi pendedahan langsung kepada para sukarelawan, khususnya pelajar, mengenai pengurusan bencana serta kepentingan kesiapsiagaan dan tindakan pantas dalam situasi kecemasan.
Secara keseluruhan, Program Pascabanjir ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif membantu komuniti di PPS terlibat, malah menjadi platform penting dalam memupuk nilai keprihatinan, kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan sukarelawan UMPSA KILAU.
Usaha murni ini diharap dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan sebagai sokongan berterusan kepada masyarakat yang berdepan dengan situasi bencana.

Oleh: NUR HARTINI MOHD HATTA, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 26 views