Skip to main content

TELAAH UMPSA 2026 perkasa wacana ilmu dan bedah karya pemikiran agung

PEKAN, 23 September 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneruskan usaha memperkasakan budaya membaca dan perkongsian ilmu menerusi penganjuran Program TELAAH 2026 yang berlangsung di Lounge Eksekutif, Perpustakaan UMPSA Pekan.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menjadi ruang pertemuan antara buku, pemikiran dan warga akademik apabila dua karya daripada latar dan bidang yang berbeza dibincangkan secara kritis oleh tokoh akademik dalam suasana wacana yang terbuka dan dekat di hati peserta.

Program kali ini menampilkan dua orang Penelaah, iaitu Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi  Hashim@Wan Husain daripada Fakulti Pengurusan Industri (kini berkhidmat di ISTAC -UIAM) serta Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Profesor di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), merangkap Pengarah Kanan Pusat Peralihan Iklim dan Risiko Bencana UMPSA, Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos. 

Sesi wacana dikendalikan sepenuhnya oleh personaliti media berpengalaman, Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selaku moderator.

Dalam sesi pertama, Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi membawa peserta menyelusuri pemikiran berkaitan kenegaraan menerusi karya beliau, ’Watan Bangsa Malaysia’.

Perbincangan mengetengahkan gagasan Jurisprudens Watan yang memberi perhatian kepada kepentingan memahami undang-undang dan sejarah perlembagaan berdasarkan latar sejarah, budaya serta jati diri sesebuah negara. 

TELAAH UMPSA 2026 perkasa wacana ilmu dan bedah karya pemikiran agung

Kupasan beliau turut menyentuh hubungan antara sejarah perundangan, kedaulatan, institusi Raja-Raja Melayu, Islam dan adat tempatan dalam memahami perkembangan ketatanegaraan Malaysia. 

Ujarnya, pemahaman mengenai nilai watan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, serta adat tempatan adalah tiang seri yang membentuk jati diri negara bangsa kita. 

Sesi kedua pula menampilkan Profesor  Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos yang mengupas karya klasik ‘As A Man Thinketh’ oleh James Allen yang diterbitkan pada tahun 1903. 

Walaupun karya ini telah berusia lebih satu abad, gagasan yang dibawanya masih relevan dalam memahami bagaimana pemikiran manusia mempengaruhi tindakan, tabiat dan akhirnya membentuk kehidupan seseorang.
Perkongsian tersebut memberi tumpuan kepada bagaimana pemikiran manusia mempengaruhi tindakan, tabiat dan pembentukan kehidupan seseorang. 

Beliau turut menekankan kepentingan mengurus pemikiran dengan baik, melakukan refleksi kendiri serta mempunyai kesediaan untuk menerima pandangan dan melakukan perubahan.

Perbincangan turut menyentuh konsep pemikiran melalui perspektif hati atau qalbu sebagai pusat pertimbangan yang lebih mendalam, dengan keputusan dan tindakan perlu dipandu oleh hikmah, kearifan serta pertimbangan yang baik.

Menurut Ketua Pustakawan UMPSA, Hajah Kamariah Gono, penganjuran TELAAH 2026 turut menyokong usaha Perpustakaan UMPSA memperluaskan peranannya sebagai ruang pembelajaran dan perkongsian ilmu dengan menghubungkan koleksi perpustakaan, komuniti akademik dan warga universiti menerusi aktiviti wacana.

”Penganjuran TELAAH merupakan antara usaha Perpustakaan UMPSA menyediakan ruang kepada warga universiti untuk mendekati buku, berkongsi pandangan dan membudayakan ilmu,” ujarnya. 

Manakala Ketua Seksyen Buku dan Penerbitan Khas, Penerbit UMPSA, Mohd Azli Shukri berkata, program TELAAH merupakan satu inisiatif yang baik dalam usaha memarakkan wacana ilmu pengetahuan di samping memperkenalkan karya-karya agung dan berkualiti untuk tatapan masyarakat.

“Pada hemat saya, TELAAH merupakan satu daripada agenda yang sangat baik untuk menyemarakkan wacana ilmu pengetahuan, di samping memperkenalkan karya-karya magnum opus yang berkualiti untuk menjadi tatapan dan bacaan awam,” jelasnya. 

Beliau turut berharap Program TELAAH dapat diteruskan pada masa akan datang dengan mengetengahkan lebih banyak karya hebat daripada penulis dan ilmuwan tempatan.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata penghargaan oleh Ketua Pustakawan UMPSA kepada para penelaah dan moderator sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu yang diberikan.

Disediakan Oleh: Noorul Farina Ariffin, Perpustakaan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri