Skip to main content

TUAH tampil dalam gimik peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber bersempena dengan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-93

LUMUT, 19 September 2026 – Tactical Utility Autonomous Hybrid (TUAH), platform autonomi maju yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), edge intelligence dan sistem kawalan berpusat, tampil sebagai sebahagian daripada gimik peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-93 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, hari ini.

TUAH merupakan hasil gabungan kepakaran industri pertahanan tempatan menerusi DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) dalam aspek keperluan ketenteraan, reka bentuk mekanikal dan fabrikasi bersama kepakaran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam bidang sistem autonomi, pembangunan perisian dan robotik.

Pembangunan TUAH turut mendapat sokongan menerusi Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) 2025 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM1.4 juta bagi menerajui projek penyelidikan berimpak tinggi bertajuk ‘AEROGROUND: Investigation of Autonomous Aero-Ground Robot for Surveillance and Reconnaissance – Artificial Intelligence Driven Navigation with Secure Edge Computing Integration’.

TUAH tampil dalam gimik peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber bersempena dengan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-93

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, penglibatan TUAH dalam gimik peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber membuktikan bahawa hasil penyelidikan universiti berupaya diterjemahkan kepada teknologi yang mempunyai nilai strategik dan potensi aplikasi sebenar dalam sektor pertahanan negara.

“UMPSA komited untuk memastikan hasil penyelidikan dan kepakaran yang dibangunkan di universiti bukan sahaja memberi nilai kepada dunia akademik, malah dapat diterjemahkan kepada penyelesaian teknologi yang memenuhi keperluan industri dan negara. 

“TUAH merupakan contoh bagaimana sinergi antara akademia dan industri mampu menghasilkan teknologi autonomi yang berpotensi menyokong keperluan pertahanan masa hadapan,” ujarnya. 

Beliau berkata, kerjasama strategik bersama DEFTECH turut membuka ruang kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi dalam bidang teknologi strategik, selain memperkasa bakat berkemahiran tinggi dalam bidang kecerdasan buatan, robotik, sistem autonomi dan pengkomputeran edge.

Projek TUAH merupakan projek utama yang dibangunkan melalui pembiayaan LRGS berkenaan, dengan fokus kepada penerokaan teknologi robot autonomi aero-darat bagi tujuan pengawasan dan peninjauan, termasuk aspek navigasi berasaskan kecerdasan buatan serta integrasi pengkomputeran edge yang selamat.

Kerjasama strategik antara UMPSA dan DEFTECH ini memperlihatkan bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada pembangunan teknologi yang mempunyai potensi aplikasi dalam sektor pertahanan, khususnya bagi menyokong operasi taktikal yang memerlukan keupayaan autonomi, mobiliti dan pengumpulan maklumat secara masa nyata.

Majlis peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bersempena dengan sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-93 di Pangkalan TLDM, Lumut.

Penubuhan Tim Nukleus Angkatan Siber menyediakan asas dari segi struktur, proses dan integrasi sebelum penubuhan penuh Angkatan Siber, selaras dengan pembangunan Angkatan Masa Hadapan serta agenda transformasi ATM.

Usaha tersebut turut mengambil kira perubahan persekitaran operasi dan keperluan untuk membangunkan keupayaan bersama, termasuk memperkukuh kerjasama dengan industri pertahanan tempatan serta pembangunan bakat dalam bidang siber dan elektromagnetik.

Penyertaan TUAH dalam acara berkenaan turut mencerminkan peranan UMPSA dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi berorientasikan keperluan strategik negara, khususnya menerusi penggabungan kepakaran akademia, industri dan sektor pertahanan.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi), Jabatan Penyelidikan & Inovasi, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim; pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Dr. Muhammad Izhar Ishak; pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Dr. Mohd Azri Hizami Rasid; Head of Plant, DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH), Leftenan Kolonel Ts. Abdul Zamri Abdullah; Mechanical-Automotive/Project Engineer, Ir. Ts. Nor Hazwani Mohd Yusof; serta Supervisor Technician, Mat Robi Abdullah.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri