UMP, Axiata bangunkan program pembangunan mahasiswa berdaya saing
Kuantan, 4 Ogos– Pelbagai inisiatif dilaksanakan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan dalam kalangan mahasiswa. Baru-baru ini dengan kerjasama pihak Axiata Group Berhad, UMP mengadakan Program University Leadership Development Program (ULDP) yang berlangsung di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang baru-baru ini.
Program dianjurkan Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dengan disertai seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa universiti. Hadir dalam program Eksekutif JJIM, Pengurus Axiata Group, Haji Mohammad Hasyir Sunoto bersama Danial Arvin dan Sharaf Guna selaku fasilitator.
Menurut Hj. Hasyir, program ini merupakan antara salah satu usaha dalam memberikan pendedahan awal kepada para pelajar untuk menyertai ULDP. Mahasiswa juga didedahkan dengan program sangkutan seperti Structured Internship Program (SIP) dan Young CEO Development Program (YCDP) di bawah kelolaan sepenuhnya pihak Axiata Group.
“ULDP pada asasnya bertujuan membangunkan potensi diri mahasiswa dan menambah baik kemahiran berkomunikasi melalui pendedahan terus dengan aktiviti berlandaskan simulasi dan praktikal di industri. Senario realiti yang diterapkan sepanjang program ini dilihat mampu membina asas jati diri kepada graduan teknikal dalam membentuk kemahiran berkomunikasi di alam pekerjaan”, katanya.
Bagi Danial Arvin penganjuran aktiviti ini juga telah memberi laluan kerjasama di antara Axiata dan UMP pada masa akan datang. Kewujudan JJIM misalnya, telah memberikan satu gambaran kepada Axiata untuk aktif dalam menjalankan lebih banyak aktiviti bersama universiti teknikal ini secara berterusan untuk mendapatkan graduan berkualiti selain mengharapkan graduan UMP akan terus kekal berdaya saing.
Disediakan oleh Hj. Mohammad Hasyir Sunoto dari Jabatan Jaringan dan Industri