UMP bakal perluas kolaborasi dengan LiuZhou Railway Vocational Technology College dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Rel
PEKAN, 11 Julai 2023 - Kunjungan delegasi LiuZhou Railway Vocational Technology College Guangxi, China (LZRVTC) yang diketuai oleh Director, Scientific & Technical Graphic Information, Profesor Dr. Zhou Lan ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini memberi peluang kedua-dua pihak memanfaatkan peluang berkolaborasi dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Rel.
Hadir menyambut delegasi, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.
Kehadiran delegasi LZRVTC turut disertai pihak China Communication Construction Company (CCCC).
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, pertemuan ini bakal memperluas jaringan kerjasama UMP dalam kolaborasi akademik dan antarabangsa, mobiliti , ijazah dual dan penyelidikan yang bakal dimanfaatkan kedua-dua pihak khususnya dalam bidang Mekanikal, Elektrikal, Sains Komputer dan lain-lain.
“UMP mempunyai kolaborasi dengan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) dalam Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) bermula pada tahun 2017 hingga 2022 dan disambung untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2027.
“Malahan UMP turut berkolaborasi dengan Beijing Jiatong University (BJTU) China bagi Program Ijazah Dual membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara,” katanya.
Selain itu, ia turut membincangkan berkaitan potensi kerjasama dalam projek ECRL dalam penyediaan modul latihan pengoperasian dan penyelenggaraan serta melibatkan cadangan penubuhan institut latihan berteraskan pengoperasian dan penyelenggaraan rel.
Delegasi turut berpeluang melawat makmal Teaching Factory di PRINT dan Confucius Institute (CI) bagi memberikan kefahaman bidang-bidang kepakaran dalam Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan dan Teknologi serta pengajaran bahasa Mandarin yang ditawarkan oleh UMP.
Turut sama hadir Timbalan Dekan Institut Latihan Vocational, Xiao Jingling, Profesor Madya Lan Zhiiang dan Dr. Wu Yonggui dari Fakulti Pengurusan Pengangkutan.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 74 views