UMP Bertaraf Lima Bintang Penyelidikan Terbaik
Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertaraf lima bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) melalui program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan yang dilaksanakan universiti ini bagi pencapaian tahun 2016 berdasarkan keputusan yang dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPT) hari ini.
Penilaian adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria termasuklah kualiti dan kualiti penyelidik, penyelidikan, pasca siswazah, inovasi, khidmat professional dan hadiah. Turut dinilai jaringan dan jangkauan serta kemudahan sokongan.
Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Sri ts Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pencapaian ini bertepatan dengan aspirasi kegemilangan UMP untuk menjadi universiti teknologi terunggul menjelang 2020.
Menurutnya, sistem penilaian ini akan memberi ruang dan peluang kepada UMP untuk membuat dasar termasuk penetapan dasar penting sekali gus menyemarakkan usaha membangunkan dan memantapkan universiti di negara ini selain mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dan juga antarabangsa.
Katanya, UMP juga akan memperhebatkan peranan Pusat Kecemerlangan (CoE dan ICoE) dan meningkatkan penerbitan jurnal berimpak tinggi serta menyemarakkan lagi aktiviti pengkomersilan.
"Penilaian tahun 2015 kita telah mencapai tahap empat bintang manakala pada tahun 2011 dan 2010 kita hanya memperoleh dua bintang sahaja. Pencapaian lima bintang ini membuktikan pembangunan dan perkembangan penyelidikan dan Inovasi yang amat agresif telah dilaksanakan di universiti ini," katanya.
Beliau mengharapkan warga UMP akan terus berusaha mencipta kecemerlangan pada masa hadapan. Kejayaan ini juga selari dengan pencapaian Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan ‘Memasyarakatkan Teknologi’ terutamanya dalam melonjakkan keberhasilan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi. Ianya juga bertepatan dengan hasrat kerajaan dan pihak KPT dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang dapat dimanfaatkan kepada masyarakat di negara ini.
Disediakan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, UMP
- 148 views