UMP Laksana Dasar “Bekerja Dari Rumah”
Kuantan, 25 Mac– Akur terhadap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lanjutan negara berdepan dengan penularan jangkitan wabak Covid-19, memberikan suatu pengalaman luar biasa buat warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang melaksanakan dasar “Bekerja Dari Rumah” sejak 18 Mac lalu.
Bagi Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses, Dr. Rozaimi Abu Samah berkata, melihat daripada suatu sudut terhadap pelaksanaan bekerja dari rumah ini memberi lebih fleksibiliti buat pekerja. Masa untuk bersedia ke tempat kerja dapat dijimatkan.
Sebagai contoh, perjalanannya ke tempat kerja mengambil masa dalam 30 minit sehala. Persiapan pakaian juga hanya perlu disesuaikan jika ada urusan berkaitan panggilan video. Namun, pada pendapatnya cabaran utama kebanyakan pekerja adalah sikap disiplin untuk terus kekal dalam mod bersedia untuk berurusan dengan pihak lain.
Ujarnya, cabaran ini boleh mengganggu produktiviti dan kualiti kerja sekiranya tidak diurus dengan baik. Pada masa yang sama, kekurangan kemudahan peralatan pejabat mungkin mengganggu momentum melakukan kerja, terutamanya komputer dan gangguan kemudahan internet yang gagal berfungsi dengan baik.
“Bagi staf akademik pula, cabaran utama ialah berkaitan penilaian pengajaran. Pensyarah perlu kreatif mendapatkan kaedah yang paling sesuai untuk menilai pelajar secara dalam talian dan tanpa perlu kehadiran secara fizikal seperti ujian bertulis yang boleh dilakukan di dalam dewan kuliah,” katanya.
Selain itu, sesi pengajaran dan pembelajaran juga boleh mengalami gangguan memandangkan terdapat sesetengah kemudahan yang mudah dicapai dari dalam kawasan UMP sendiri berbanding di luar kampus. Namun, ianya bukan halangan buat pensyarah menggunakan kemahiran dan teknologi dalam memastikan pembelajaran dan pengajaran dapat diteruskan dengan cara terbaik. Terutamanya melibatkan urusan kerja berkaitan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan internet untuk para pelajar juga perlu diberi keutamaan.
Dalam pada itu, Ketua Program (Pengurusan Projek) Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Nurhaizan Mohd Zainudin, menyambut baik pelaksanaan bekerja dari rumah ini sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Walau bagaimanapun, Dr Nurhaizan memberitahu konsentrasi dan produktiviti adalah penting sepanjang pelaksanaan ini. Beliau menambah, ketika fasa bekerja dari rumah ini, kemungkinan untuk informasi sulit dan persendirian bocor adalah lebih tinggi. Oleh yang demikian, kesedaran mengenai etika bekerja dari rumah perlu dipertingkatkan.
Manakala bagi Penolong Pendaftar di Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Pendaftar, Nor Fadzillah Zulkipli ketika ditanya berkata, bekerja dari rumah untuk tempoh yang panjang seperti ini merupakan perkara baharu buatnya.
Walaupun berada di rumah, beliau masih boleh menyiapkan tugasan yang diberi oleh ketua tanpa tekanan dan persekitaran juga adalah lebih kondusif, Namun, situasi berdepan dengan gangguan terutamanya melibatkan anak tatkala berada di rumah juga suatu cabaran. Ianya dapat diatasi sekiranya mendapat bantuan serta kerjasama pasangan atau ahli keluarga lain.
Dalam memastikan tugasan dapat dilaksana dengan baik, kemudahan rangkaian jalur lebar khas untuk tugasan yang memerlukan staf mengakses sistem adalah sangat membantu terutamanya di sesetengah lokasi kediaman yang tidak mendapat liputan rangkaian jalur lebar yang mencukupi.
Ketua Program (Sarjana Pentadbiran Perniagaan), Dr. Suhaidah Hussain turut berkongsi pengalaman menjalankan kelas secara atas talian sebelum pelajar memulakan cuti semester baru-baru ini. Ianya sangat membantu pensyarah dan pelajar untuk meneruskan pembelajaran secara maya. Di samping itu, bagi kelas tutorial, forum antara pelajar dan pensyarah juga dapat dijalankan dengan menggunakan platform KALAM.
Semua pegawai perkhidmatan awam diarah bekerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18 Mac sehingga dilanjutkan kepada tarikh baharu, 14 April 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Arahan tersebut turut terpakai untuk sektor swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, minyak, gas, bahan api dan sebagainya.
Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan Jusoh daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor
- 611 views