UMP, Top Glove perluas kerjasama strategik dalam pembangunan kerjaya
Kuantan, 9 November 2020 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat pengeluar sarung tangan perubatan terbesar dunia Top Glove Sdn. Bhd. dalam empat bidang membabitkan pembangunan kerjaya pelajar, penawaran kerja kepada graduan UMP, latihan industri dan penajaan yang bakal memanfaatkan kedua-dua pihak.
Dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang dijalankan secara maya, UMP diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Pusat Pembangunan & Penempatan Kerjaya UMP, Dr. Irene Ting Wei Kiong.
Top Glove Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Pengurus Besar Kumpulan Sumber Manusia, Loke Kean Mun dan Pengurus Kanan Kumpulan Sumber Manusia, Angie Ong Leah Leng.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program latihan industri merupakan wadah penting kepada pelajar UMP untuk terus meningkatkan daya kompetensi diri setelah mereka selesai menghadiri sesi pengkuliahan di UMP.
“Menerusi latihan industri, pelajar UMP bukan sahaja didedahkan kepada persekitaran kerja yang sebenar tetapi juga dapat meningkatkan kecekapan mereka dan kemahiran kerja.
“Semakin ramai pelajar menunjukkan keupayaan diri dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan, semakin besar kemungkinan pelajar akan mengetahui potensi diri mengenai pekerjaan yang sesuai dengan semangat, kemahiran dan kekuatan diri mereka.
“Pihak universiti menghargai komitmen Top Glove dalam penempatan latihan industri,” katanya.
Ujarnya, pada tahun ini menyaksikan seramai 70 orang pelajar UMP berjaya mengikuti latihan dan menimba pengalaman di syarikat ini.
“Hubungan kerjasama membabitkan lebih ramai pemain industri ini juga dapat memperkasakan pendidikan negara terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Justeru, lebih banyak ruang dan peranan terbuka kepada industri dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui jaringan kerjasama ini,” ujar beliau.
Sementara itu, Loke Kean Mun berkata pihaknya berminat menjalinkan kerjasama dengan universti teknikal seperti UMP.
“Top Glove turut mensasarkan graduan yang berkemahiran tinggi untuk diterima bekerja di sini agar dapat menyumbang terhadap ekosistem pembangunan operasi syarikat secara holistik,” katanya.
Turut hadir dalam majlis ialah Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Dr. Ahmad Johari Mohamad dan Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman.
Oleh: Raja Allen Jordan Izzudin Shah Raja Baharudin, Pusat Pembangunan & Penempatan Kerjaya UMP
- 218 views