UMP utamakan keselamatan, kebajikan pelajar menjelang kemasukan pelajar ke kampus
KUANTAN, 7 Oktober 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan sentiasa memastikan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar menjadi keutamaan terutama ketika menerima kemasukan pelajar secara fizikal secara berperingkat yang akan bermula pada 15 Oktober depan.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor, sepanjang tempoh pandemik ini, aspek keselamatan dan kesihatan telah menjadi keutamaan dengan berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan.
“Sebagai persiapan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UMP telah menyediakan beberapa pelan tindakan proses kemasukan pelajar ke kampus bagi memastikan keselamatan pelajar dititikberatkan dan pelajar dapat belajar secara kondusif.
“Pada masa yang sama, saya menyeru agar pelajar yang berada di rumah dan yang akan kembali ke kampus perlu menjaga diri dan kesihatan,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Doa Selamat dan Solat Hajat Perdana sempena pendaftaran pelajar baharu dan kembali ke kampus baru-baru ini
Mewakili pihak pengurusan tertinggi UMP, beliau turut mengalu-alukan kehadiran mahasiswa yang akan kembali ke kampus bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi sesi akademik yang baharu.
“Selamat datang juga kepada pelajar baharu yang berjaya ditempatkan di UMP,” katanya.
“Saya juga ingin menasihati agar semua pelajar UMP dapat menaruh keazaman dan semangat yang tinggi dalam menjayakan agenda kecemerlangan dan kegemilangan UMP.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada ibu bapa yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan program ini dan diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Majlis Doa Selamat dan Solat Hajat Perdana sempena pendaftaran pelajar baharu yang kembali ke kampus telah diadakan secara hibrid iaitu di Masjid UMP Kampus Gambang dan Pekan serta menerusi dalam talian menerusi aplikasi Google Meet dan Facebook UMPMalaysia.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar, Hazmin Aris dan barisan pengurusan universiti.
Bacaan surah Yasin dan doa selamat secara dalam talian itu dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Md Abdu Sahak.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 87 views