Skip to main content

UMPSA–AIIT China terokai kerjasama strategik dalam bidang Kecerdasan Buatan dan Inovasi Teknologi

PEKAN, 17 November 2026 - Kerjasama dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), pembangunan program akademik dan penyelidikan menjadi antara fokus utama perbincangan antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Anhui Institute of Information Technology (AIIT), China dalam satu pertemuan rasmi yang berlangsung di UMPSA Pekan hari ini.

Kunjungan delegasi AIIT yang diketuai oleh Presidennya, Profesor Wu Min, turut disertai Naib Presiden AIIT, Profesor Wang Zhongguo serta wakil industri dan rakan kerjasama, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GTEX Asia Sdn. Bhd., Lee Kuan Peng dan Pengurus Besar Xinbangda (Beijing) International Culture Co., Ltd., Pan Tengfei.

AIIT merupakan sebuah universiti berorientasikan pendidikan gunaan dan industri (Applied Industrial University) di China yang mendapat sokongan industri teknologi terkemuka negara tersebut, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan pembangunan teknologi pertuturan pintar (intelligent speech technology).


Kekuatan AIIT dalam pendidikan berorientasikan industri dan ekosistem teknologi AI membuka peluang kepada UMPSA untuk meneroka kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan elektrik dan elektronik serta pembangunan teknologi kecerdasan buatan.

Delegasi telah disambut oleh Penolong Naib Canselor (Strategik Korporat) dan Menjalankan Fungsi Bendahari/Ketua Pegawai Kewangan UMPSA, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya dan Pengarah Kanan (Strategik dan Risiko), Profesor Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan.

Hasil perbincangan, kedua-dua institusi bersetuju untuk meneroka tujuh bidang utama kerjasama strategik yang merangkumi Program Ijazah Dual dalam bidang AI, Program Latihan Industri Global, Pertukaran Pelajar Berasaskan Semester, Pertukaran Staf, Penyelidikan Bersama dan Geran Padanan, Lawatan Penandaarasan Institusi serta Penubuhan Makmal Global Kecerdasan Buatan (Global AI Laboratories).

Dalam aspek pembangunan program akademik, AIIT telah menyatakan hasratnya bagi meneroka kerjasama Program Ijazah Dual dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) berdasarkan pengalaman luas UMPSA dalam pelaksanaan program ijazah dual menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi antarabangsa.

Pada masa ini, UMPSA menawarkan sebanyak 13 program ijazah dual bersama lapan institusi rakan strategik di empat negara, iaitu China, Korea Selatan, Jerman dan Kazakhstan.


Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang mobiliti dan pembangunan bakat antarabangsa melalui pertukaran pelajar dan staf, latihan industri serta perkongsian kepakaran akademik.

Dalam masa yang sama, penyelidikan bersama, geran padanan dan penerokaan Makmal Global AI akan menjadi platform untuk memperkukuh penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi, manakala lawatan penandaarasan membolehkan kedua-dua institusi berkongsi amalan terbaik dalam pendidikan berorientasikan industri dan kerjasama universiti-industri.

Sebagai langkah susulan, UMPSA dan AIIT turut bersetuju untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai kerangka rasmi bagi memperkukuh hubungan institusi serta menjadi asas kepada pelaksanaan program dan aktiviti kerjasama yang telah dikenal pasti.

Kerjasama ini diharap dapat membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif akademik, penyelidikan dan inovasi teknologi, sekali gus memperkukuh hubungan antarabangsa UMPSA serta menyokong usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Mohammad Iqbal Ramly, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
AINIEY