Skip to main content

UMPSA anjur AI Generation Festival 2025 (AIGenFest2025) cetus transformasi digital melalui kecerdasan buatan generatif

CYBERJAYA, 25 Mei 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Pusat Kecemerlangan Teknologi Industri Termaju dengan kerjasama Gig Venture telah berjaya menganjurkan AI Generation Festival (AIGenFest2025) pada 24 dan 25 Mei 2025 bertempat di Rekascape, Cyberjaya.

Program dua hari itu telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

UMPSA anjur AI Generation Festival 2025 (AIGenFest2025) cetus transformasi digital melalui kecerdasan buatan generatif

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha turut menjadi panel jemputan dan tetamu kehormat pada majlis tersebut.

AIGenFest2025 menghimpunkan para peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk komuniti kecerdasan buatan (AI), usahawan, wakil industri dan agensi kerajaan, ahli akademik dan pelajar tempatan serta antarabangsa.

Menurut Profesor Dr. Yatimah Alias, penganjuran program ini amat signifikan dalam mendokong Pelan Strategik UMPSA30 yang menyasarkan UMPSA sebagai sebuah universiti terunggul dan teknologi terkini terutamanya AI.

"Kita mahu membudayakan teknologi AI dalam kalangan masyarakat dan industri, seterusnya meningkatkan daya saing serta keupayaan penyelidik dan ahli akademik tempatan dalam meneroka potensi kecerdasan buatan generatif," ujarnya.

Antara acara utama sepanjang festival ialah AI Forum, AI Talk dan AI Spotlight yang bukan sekadar platform untuk pertukaran ilmu malah berperanan sebagai pemangkin kepada transformasi digital, inovasi mampan dan jaringan kerjasama antara sektor akademik dan industri. 

Seramai 22 orang penceramah daripada pelbagai bidang latar belakang kerjaya telah berkongsi pengalaman dan panduan menggunakan AI dalam meningkatkan produktiviti kerja mereka. 

Pelbagai sesi forum, bengkel interaktif dan demonstrasi teknologi turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta memahami trend terkini dalam pembangunan AI serta membina jaringan profesional yang kukuh.

Program ini turut menyokong dasar nasional dalam pembangunan teknologi dan inovasi, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi digital di rantau ini.

Penganjuran AIGenFest2025 membuktikan komitmen UMPSA melalui Pusat Teknologi Industri Termaju dalam menerajui misi ‘Teknologi untuk Masyarakat’, memperkukuh sinergi antara universiti, industri dan komuniti bagi masa depan yang lebih lestari serta  berteknologi tinggi.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad