Skip to main content

UMPSA anjur iNCLUSIVE 2025 kukuhkan komitmen terhadap teknologi dan pendidikan inklusif

PEKAN, 29 Mei 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar sejarah tersendiri apabila menganjurkan buat pertama kalinya International Carnival on Inclusive Technology and Ecosystem (iNCLUSIVE) 2025 yang berlangsung di Perpustakaan UMPSA, Pekan.

Majlis perasmian karnival itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia, Yang Berhormat Senator Isaiah a/l D.Jacob.

Dalam ucapannya beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan menghargai usaha UMPSA dalam menerajui pendekatan pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan mampan.

UMPSA anjur iNCLUSIVE 2025 kukuhkan komitmen terhadap teknologi dan pendidikan inklusif

“Saya merakamkan penghargaan atas inisiatif UMPSA yang menggabungkan pelbagai pihak dari sektor pendidikan, industri dan komuniti ke arah membina ekosistem teknologi inklusif negara. 

“Usaha seperti ini akan menjadi pemangkin kepada inovasi dan kesejahteraan nasional serta selari dengan dasar MADANI yang menekankan keadilan sosial, kreativiti dan kemakmuran bersama,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Dr Yatimah Alias menyifatkan penganjuran iNCLUSIVE 2025 sebagai detik bersejarah yang memperkenalkan satu naratif baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara yang menggabungkan kecemerlangan teknologi dengan nilai kemanusiaan dan empati.

UMPSA anjur iNCLUSIVE 2025 kukuhkan komitmen terhadap teknologi dan pendidikan inklusif

“iNCLUSIVE bukan sekadar program, tetapi satu platform untuk kita menzahirkan teknologi yang bersifat penyatu dan pemulih, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan seperti SDG 4, 9 dan 10,” ujarnya.

Antara pencapaian penting yang diumumkan dalam karnival ini ialah naik taraf Unit Perkhidmatan OKU UMPSA kepada Pusat Perkhidmatan Inklusif bagi memperkukuh lagi komitmen institusi dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeluruh. 

Pusat ini merangkumi sokongan infrastruktur, kurikulum, sokongan psikososial dan pembangunan kerjaya bagi pelajar berkeperluan khas.

Karnival iNCLUSIVE 2025 yang bertemakan 'Education, Technology and Ecosystem‘ itu berjaya menghimpunkan tujuh program utama termasuk persidangan maya, pameran fizikal, forum hibrid serta klinik e-sukan yang mencerminkan pendekatan pelbagai dimensi dalam usaha untuk menyampaikan teknologi kepada semua. 

Sebanyak 23 reruai pameran dari pelbagai agensi tersedia bagi kunjungan peserta pada hari ini. 

Karnival ini turut menampilkan dua sesi forum utama bertemakan 'Perkongsian Amalan Terbaik‘ yang berlangsung secara hibrid. 

Slot pertama 'The Synergy of HATi, Technology as Enabler for the Inclusive Community‘ menampilkan Pengarah Pusat Perkhidmatan Inklusif, UMPSA, Dr. Munira  Abdul Razak sebagai moderator manakala Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah  Alias, Pensyarah Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (UIAM), Ts. Dr. Aidrina Mohamed Sofiadin dan CEO Jonetsu Company Inc., Jepun,, Miki Yoshikazu sebagai panel bagi forum tersebut. 

Sesi ini mengetengahkan teknologi sebagai pemangkin kepada komuniti inklusif menerusi pendekatan Humanity-Aided Technology (HATi), dengan fokus kepada aplikasi teknologi dalam memperkasakan golongan rentan.

Slot kedua 'iNCLUSIVE: From Campus to Global Community‘ pula menampilkan Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, Mohammad Hazeem Azemi sebagai moderator manakala Ahli Parlimen Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Isaiah D. Jacob, Setiausaha Bahagian Tugas-tugas Khas, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Dato’ Mohd Suhaimi Jaafar dan Ketua Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim sebagai ahli panel.

Perbincangan dalam slot ini menekankan aspirasi membawa nilai-nilai inklusif dari peringkat kampus ke peringkat global, seiring dengan usaha Malaysia memperkukuh peranan dalam kerangka pembangunan serantau dan antarabangsa.

Melalui karnival ini, UMPSA sekali lagi membuktikan peranannya sebagai universiti teknikal terunggul yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dan teknologi, malah menjadikan prinsip inklusiviti sebagai teras pembangunan institusi pendidikan tinggi yang progresif dan berdaya saing.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad