Skip to main content

UMPSA anjur Majlis Syarahan Komuniti UMPSA 2024: Keselamatan Organisasi vs Integriti Kepimpinan

GAMBANG, 12 Disember 2024 - Program Syarahan Komuniti bertajuk ‘Keselamatan Organisasi vs Integriti Kepimpinan’ yang diadakan di Dewan Astaka UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini menjadi platform perkongsian ilmu kepada mahasiswa dan staf dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu integriti dalam kepimpinan, keselamatan, menghadapi krisis dengan kepimpinan yang kuat dan pemimpin sebagai penentu kejayaan.

Program anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) dengan kerjasama Akademi A.D.A.B dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Negeri Pahang itu telah disampaikan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri Pahang, SAC Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali.

UMPSA anjur Majlis Syarahan Komuniti UMPSA 2024-1

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, objektif utama program itu adalah untuk melahirkan pemimpin yang berintegriti dengan membentuk pemimpin pelajar yang mengutamakan nilai integriti dalam setiap tindakan mereka.

UMPSA anjur Majlis Syarahan Komuniti UMPSA 2024-1

“Pemimpin yang berintegriti akan menjadi teladan kepada rakan pelajar dan mampu membuat keputusan yang berasaskan etika serta keadilan, terutamanya dalam situasi yang mencabar.

“Program ini amat relevan dan penting dalam konteks dunia hari ini, di mana keselamatan organisasi dan integriti kepimpinan menjadi tunjang kepada kejayaan dan kelangsungan sesebuah organisasi.

“Organisasi atau agensi-agensi kerajaan sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari dalam mahupun luar persekitaran dan ancaman ini boleh menjejaskan prestasi, produktiviti serta masa hadapan sesebuah organisasi,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, ancaman ini mempunyai hubung kait yang erat dengan isu etika dan integriti. 

“Pengabaian kedua-dua prinsip ini boleh membuka peluang untuk berlakunya penyelewengan, rasuah, salah laku dan salah guna kuasa dalam sesebuah organisasi. 

“Justeru, sebagai sebuah institusi yang sentiasa komited dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan, UMPSA mengambil pendekatan proaktif dengan menunjukkan komitmen melalui penganjuran syarahan pada hari ini,” katanya. 

Katanya lagi, majlis ini adalah  contoh usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan nilai integriti dalam kalangan pelajar. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dato’ Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, dekan-dekan, pengarah, anggota PDRM dan warga universiti.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar unit badan beruniform serta warga UMPSA hadir di program itu. 

Disediakan Oleh: Mohammad Ilzam Jamat, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) dan Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Admin UMP News