Skip to main content

UMPSA anjur Pemindahan Ilmu Pembangunan Panduan Interaktif (InapKiT) kepada pengusaha Inap Desa di Pahang

PEKAN, 8 Mei 2025 - Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program inovasi sosial, Pemindahan Ilmu Pembangunan Panduan Interaktif (InapKit) kepada Pengusaha Inap Desa khusus untuk pengusaha homestay dan kampung stay di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Pahang. 

Program yang diketuai oleh pensyarah FK, Ts. Siti Normaziah Ihsan bersama pasukan pelaksana dari geran inovasi sosial universiti dijalankan dengan kerjasama Kolej Komuniti Pekan, Pahang dalam tiga siri berasingan selama dua hari. 

UMPSA anjur Pemindahan Ilmu Pembangunan Panduan Interaktif (InapKiT) kepada pengusaha Inap Desa di Pahang

Menurut Ts. Siti Normaziah, objektif utama program adalah untuk memperkenalkan penggunaan platform InapKit, iaitu satu panduan digital interaktif yang dibangunkan khusus bagi membantu pengusaha inap desa dalam pengurusan, promosi dan penyampaian maklumat penginapan secara sistematik dan profesional.

“Sepanjang program, para peserta diberikan latihan secara praktikal mengenai cara mengisi maklumat penginapan, menghasilkan katalog perkhidmatan, menjana bahan promosi digital, dan mengurus tempahan secara lebih efektif. 

“Selain itu, peserta juga berpeluang berbincang secara terus dengan tenaga pengajar bagi menyesuaikan penggunaan platform InapKit mengikut keperluan masing-masing,” katanya. 

Beliau menambah, program ini membuktikan komitmen FK dalam menyokong inisiatif pemerkasaan pelancongan komuniti melalui inovasi sosial berasaskan teknologi, 

“Ia juga memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti setempat. 

“Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi ke lokasi-lokasi inap desa lain dan penyedia perkhidmatan pelancongan di seluruh negara,” ujarnya. 

Menurut Presiden Persatuan Homestay Malaysia merangkap Pengerusi Homestay Kampung Desa Murni, Temerloh, Dato’ Haji Shahariman Hamdan, program ini memberi manfaat yang sangat baik kepada pengusaha homestay dalam menambah baik servis dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelancong. 

UMPSA anjur Pemindahan Ilmu Pembangunan Panduan Interaktif (InapKiT) kepada pengusaha Inap Desa di Pahang

“Program seumpama ini harus diperbanyakkan dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi memastikan pengusaha inap desa terus berdaya saing dalam era digital,” ujarnya. 

Menurut Penyelaras Homestay Kampung Peruas, Amran Husin pula, program ini memberi banyak manfaat kerana memudahkan pengusaha inap desa menambah baik pengurusan khidmat kepada bakal pelanggan dan pelanggan mereka secara lebih teratur dan mesra pengguna. 

“Selain itu, peserta turut didedahkan dengan pengurusan komunikasi penginapan, maklumat peraturan, tanggungjawab tetamu, maklumat keselamatan, serta cadangan aktiviti dan tarikan tempatan secara sistematik tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang kompleks.

Siri 1 program berlangsung di Kampung Sentosa, Maran pada 7 hingga 8 Mei 2025 yang melibatkan seramai sepuluh orang peserta.

Manakala Siri 2 di Kampung Peruas, Raub pada 14 hingga 15 Jun 2025 yang turut disertai oleh sepuluh orang peserta, dan diikuti pula dengan Siri 3 di Desa Murni, Temerloh pada 5 hingga 6 Julai 2025 yang disertai oleh 20 orang peserta. 

Secara keseluruhannya, seramai 40 orang pengusaha inap desa berjaya mengikuti program ini.

Disediakan Oleh: Ts. Siti Normaziah Ihsan, Fakulti Komputeran

Reports by:
AINIEY