UMPSA Anjur Pertandingan Menjelang Sambutan Jubli Perak Ke-25 Tahun
PEKAN, 12 Mei 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal menganjurkan beberapa pertandingan menarik sempena Sambutan Jubli Perak UMPSA Ke-25 Tahun yang akan diraikan pada tahun hadapan.
Penganjuran pertandingan itu diadakan sebagai salah satu inisiatif bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun penubuhan universiti selain menghargai pencapaian dan perkembangan UMPSA sepanjang 25 tahun penubuhannya.
Antara pertandingan yang dianjurkan ialah Pertandingan Mencipta Logo, Pertandingan Penulisan Rencana dan Pertandingan Video Pendek.
Pertandingan tersebut terbuka kepada seluruh warga UMPSA dan setiap peserta dibenarkan menghantar satu penyertaan sahaja bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, sambutan Jubli Perak itu bukan sahaja menjadi simbol pencapaian universiti sepanjang penubuhannya malah turut mencerminkan semangat kebersamaan seluruh warga UMPSA dalam membina kecemerlangan institusi.
“Penganjuran pertandingan ini diharap dapat membuka ruang kepada warga UMPSA untuk mengetengahkan idea kreatif, inovatif dan bermakna dalam menyemarakkan sambutan Jubli Perak universiti.
“Selain itu, ia juga mampu menjadi medium untuk warga universiti menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap perjalanan serta pencapaian UMPSA selama 25 tahun,” katanya.
Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menggalakkan seluruh warga UMPSA agar mengambil peluang menyertai pertandingan yang dianjurkan sebagai tanda sokongan dalam menjayakan sambutan bersejarah tersebut.
Maklumat lanjut berkaitan syarat pertandingan dan kaedah penyertaan boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR yang disediakan pada poster hebahan rasmi pertandingan.
Semua penyertaan hendaklah dihantar sebelum atau pada 30 Jun 2026 (Selasa) sebelum jam 5.00 petang dan penyertaan lewat tidak akan diterima.
Sebarang pertanyaan serta penghantaran penyertaan boleh dikemukakan melalui e-mel di kreatif@umpsa.edu.my.
Pelbagai hadiah menarik menanti para pemenang termasuk wang tunai, sekali gus memberi peluang kepada warga UMPSA untuk bersama-sama menyumbang idea kreatif dalam menjayakan Sambutan Jubli Perak UMPSA Ke-25 Tahun.
Pihak universiti turut menyeru seluruh warga UMPSA agar memberikan sokongan dan penyertaan bagi memeriahkan sambutan yang penuh bermakna itu.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 30 views
Reports by: