UMPSA anjur Sesi Libat Urus Pembangunan Pelan Strategik UMPSA 2026-2028 bersama mahasiswa
PEKAN, 13 Jun 2024 – Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan Sesi Libat Urus Pembangunan Pelan Strategik UMPSA 2026-2028 (UMPSA28) bersama Mahasiswa di DK3, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) Pekan baru-baru ini.
Sesi itu melibatkan 25 orang mahasiswa dari pelbagai fakulti di Pekan.
Pelbagai pandangan dan saranan menarik telah diperoleh menerusi sesi berkenaan yang meliputi aspek akademik, pengajaran dan pembelajaran, fasiliti, teknologi, latihan, program mobiliti, projek tahun akhir, kepuasan terhadap tahap perkhidmatan dan kehidupan kampus.
Hasil dapatan daripada sesi libat urus itu akan diberikan perhatian dalam mengatur strategi dan pelan tindakan ke arah peningkatan perkhidmatan di UMPSA.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Strategik, PPSK, Profesor Madya Dr. Muhammad Ashraf Fauri@Fauzi yang bertindak selaku moderator turut mengharapkan agar para pelajar mengemukakan pandangan yang jujur dan menyeluruh bagi membantu universiti memberi keutamaan terhadap segmen penting yang perlu diberikan perhatian.
Menurut pelajar tahun satu Fakulti Komputeran, Ahmad Husamuddin Azmafaizal, sesi yang dijalankan ini menunjukkan pihak pentadbiran universiti mahukan yang terbaik untuk para pelajar.
“Saya mengharapkan agar sesi ini diteruskan pada masa-masa akan datang dengan lebih kerap dan lebih banyak pandangan dapat disalurkan ke medium yang tepat,” ujarnya.
Sesi yang berlangsung secara santai menggunakan platform Padlet ini menunjukkan pelajar menzahirkan keterujaan untuk memberikan maklum balas terhadap setiap soalan yang menjurus kepada kehidupan kampus dan aspek pembangunan mahasiswa.
Disediakan Oleh: Rosidah Hassan, Pusat Perancangan Strategik dan Kualiti (PPSK)
- 107 views