UMPSA anjur sesi Townhall semakan dan penambahbaikan kriteria pelantikan serta kenaikan pangkat Profesor Gred Khas C, B dan A
PEKAN, 10 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengadakan sesi Townhall bagi membincangkan semakan dan penambahbaikan kriteria pelantikan serta kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C, B dan A.
Sesi ini dihadiri oleh warga akademik universiti yang menantikan perkembangan terkini mengenai proses kenaikan pangkat yang menjadi satu agenda penting dalam kerjaya akademik mereka.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, dalam ucapannya berkata, walaupun sedang berlangsung sesi libat urus di peringkat nasional, keputusan rasmi masih belum diumumkan.
"UMPSA amat berharap agar keputusan yang bakal diperoleh akan membuka laluan ke peringkat seterusnya.
"Walau bagaimanapun, UMPSA perlu meneruskan agenda ini untuk terus memperkasa Universiti dan sebarang penambahbaikan yang diterima kelak hasil daripada siri bengkel ini yang akan menjadi asas untuk semakan lanjut di peringkat universiti kelak.
"Pelaksanaan semakan semula kriteria ini adalah untuk memperkukuh proses penilaian kecemerlangan bagi saringan kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C, B dan A, dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang dan maklum balas daripada warga akademik dan pihak berkepentingan.
“Para Profesor yang telah memenuhi syarat kenaikan pangkat seharusnya diberi peluang untuk memohon kenaikan ke jawatan Profesor Gred Khas B dan A tanpa halangan, tanpa perlu menunggu jemputan atau pelawaan untuk memohon” tegas beliau.
Selepas penguatkuasaan kriteria kenaikan pangkat untuk jawatan Profesor Gred Khas ini, proses semakan bersama pemegang taruh universiti untuk urusan kriteria kenaikan pangkat jawatan Pensyarah Universiti akan turut dikaji dan disemak semula agar ia selari dan konsisten dengan keperluan kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C, B dan A.
Beliau turut menekankan bahawa UMPSA harus melihat kriteria Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai baseline yang perlu dipatuhi dan disesuaikan agar memenuhi keperluan nasional serta kepentingan universiti teknikal.
Dalam pembentangan, beliau turut mengupas cadangan kriteria kenaikan pangkat yang bakal diguna pakai sebagai panduan baharu di UMPSA.
Sesi Townhall ini merupakan platform penting bagi membina persefahaman bersama dan mendapat maklum balas konstruktif daripada warga akademik bagi memastikan pelaksanaan kriteria kenaikan pangkat yang lebih objektif, telus dan adil.
Segala cadangan dan pandangan yang diterima akan dijadikan input untuk cadangan penyetaraan sesuai dengan UMPSA sebagai universiti TVET.
Dengan penambahbaikan ini, UMPSA berhasrat untuk terus memartabatkan profesion akademik dan meningkatkan kredibiliti universiti selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Kriteria baharu ini dijangka menjadi titik tolak penting dalam memperkukuh budaya kecemerlangan akademik di UMPSA dan seterusnya menyokong transformasi universiti dalam kerangka Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.
Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar
- 32 views
Reports by: