UMPSA bentang hasil awal Geran Penarafan berasaskan Nilai Islam di MITI
KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Nexus for Strategic Innovation in Sustainability and Digital Transformation (XSIST), Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Pusat Pembangunan Lestari (SDC) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Bahagian Industry Environmental, Social and Governance (BiESG), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baru-baru ini.
Pertemuan itu bertujuan untuk membentangkan hasil awal projek penyelidikan Value Integrated ESG (Vi-ESG) indeks penarafan yang sedang dijalankan.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Ketua Penyelidik Geran yang juga Perunding Kanan XSIST, Ts. Dr. Muhammad Fakhrul Yusuf, bersama Pengarah SDC, Dr. Suhaidah Hussain, dan Dr. Mohd Shahir Omar selaku pembantu penyelidik.
Turut hadir Dr. Wong Wai Khuen, Norafizah Mohd Riza, Adam Mohd Sharif, dan Nurul Aina Syahirah dari MITI-BiESG manakala Halal Development Corporation (HDC) pula diwakili oleh Chief Industry Development Officer (CIDO), Hanisofian Alias serta Penasihat HDC, Norhafizah Kamarudin.

Dalam sesi pembentangan tersebut, pihak UMPSA telah menjelaskan potensi penghasilan indeks ESG bersepadu patuh syariah yang sedang dibangunkan melalui dana penyelidikan projek khas UMPSA.
Menurut Ts. Dr. Muhammad Fakhrul, pilot indeks penarafan ini dicadangkan untuk dimulakan dengan sektor industri halal yang merupakan fokus negara dengan potensi yang besar.
“Projek Vi-ESG ini bertujuan untuk menyepadukan standard ESG sedia ada di Malaysia dengan asas nilai Islam, seterusnya menghasilkan sistem penarafan ESG patuh syariah serta menerbitkan buku panduan penarafan Vi-ESG yang bakal menjadi rujukan penting kepada industri dan pihak berkepentingan,” ujarnya.
Pertemuan ini turut menjadi platform bagi pihak UMPSA mendapatkan maklum balas, sokongan serta kerjasama strategik daripada MITI-BiESG dan HDC dalam memperkukuhkan hala tuju projek.
Hasil pertemuan menyaksikan semua pihak bersetuju untuk memberi bantuan dalam fasa seterusnya, termasuk sokongan terhadap aktiviti-aktiviti berkaitan Vi-ESG yang akan dilaksanakan.
Usaha ini dijangka mampu mengukuhkan kedudukan UMPSA dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan ESG berasaskan nilai Islam, kelestarian dan sektor halal negara.

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Muhammad Fakhrul Yusuf, Fakulti Pengurusan Industri dan Dr. Suhaidah Husain, Pusat Pembangunan Lestari (SDC)
- 96 views