Skip to main content
UMPSA bentang pencapaian dan hala tuju pendidikan TVET dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat CI UMPSA

UMPSA bentang pencapaian dan hala tuju pendidikan TVET dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat CI UMPSA

HEBEI, CHINA, 10 November 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menghadiri Mesyuarat Lembaga Penasihat Confucius Institute (CI) UMPSA di Hebei University (HBU) yang dipengerusikan oleh Presiden HBU, Profesor Dr. Meng Qingyu. 


Dalam sesi ini, UMPSA membentangkan laporan tahunan kepada Ahli Lembaga Penasihat di mana HBU telah menyumbang kepakaran akademik dan sokongan kewangan kepada CI UMPSA. 


Antaranya melibatkan penghantaran seramai enam orang guru bahasa sukarelawan daripada HBU pada bulan Oktober 2026 ke UMPSA bagi membantu operasi dan aktiviti CI UMPSA. 


Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, sumbangan CI UMPSA ini tidak hanya berfokus untuk warganya sahaja, namun turut melibatkan peningkatan kemahiran di peringkat industri dan komuniti. 



“Kedua-dua pihak bersetuju bagi sama-sama memperkukuh platform pendidikan dan latihan dengan memanfaatkan Pusat Serantau Pendidikan Bahasa Cina dan Kemahiran Vokasional serta pembangunan kurikulum bersama dan pensijilan kemahiran,” ujarnya.  


Selain itu katanya, kerjasama akademik dan penyelidikan ini juga turut bakal diperluaskan dengan meneroka pembangunan makmal bersama dan perluasan penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan, ekonomi digital serta ekologi dan alam sekitar.


“Manakala hubungan masyarakat (people-to-people) dan pertukaran budaya juga akan turut diperkasakan melalui program mobiliti pelajar dan staf bukan akademik, global classroom serta edutourism,” jelasnya. 


Profesor Ts. Dr. Yatimah turut berharap agar kerjasama antara UMPSA dan HBU ini mencapai objektif yang dihasratkan sekali gus mempererat persahabatan, memperluas perkongsian ilmu dan membuka lebih banyak peluang yang memberi manfaat kepada warga kedua-dua institusi.


Dalam masa yang sama, Pengarah CI UMPSA (Malaysia), Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon telah membentangkan laporan aktiviti dan pencapaian bagi tahun 2026 dan perancangan seterusnya bagi tahun 2027. 


Manakala Pengarah CI UMPSA (China), Profesor Dr. Li Lijun telah membentangkan laporan kewangan 2026 dan cadangan belanjawan 2027 berkaitan pengajaran Bahasa Mandarin, latihan kemahiran teknikal, hubungan industri, mobiliti dan penyelidikan. 


Turut sama hadir Naib Presiden Hebei University, Profesor Dr. Zhang Yangjian, Pengarah Pejabat Kerjasama Antarabangsa, Profesor Dr. Xing Huibin dan Pengarah Pusat Institut Confucius, Profesor Madya Liang Weige. 


Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri