Skip to main content

UMPSA berjaya kesan semula Bunga Pekan, perkukuh warisan alam negeri Pahang

PEKAN, 22 Julai 2026 – Di sebalik kejayaan penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengesan semula ‘Bunga Pekan’, spesies yang dipercayai hampir pupus dan menjadi asal-usul nama Bandar Pekan, tersimpan satu cabaran besar iaitu mengenal pasti identiti sebenar bunga tersebut yang sekian lama menjadi tanda tanya.

Antara cabaran utama dalam usaha mengangkat Bunga Pekan sebagai identiti warisan ialah kesukaran mendapatkan pengesahan mengenai spesies sebenar bunga berkenaan. 

Hasil semakan daripada pelbagai sumber, termasuk laman sesawang dan media sosial, mendapati nama ‘Bunga Pekan’ sering dirujuk kepada spesies yang berbeza-beza, malah gambar yang dipaparkan juga tidak seragam. 

UMPSA berjaya kesan semula Bunga Pekan, perkukuh warisan alam negeri Pahang

Kekeliruan itu menyebabkan identiti sebenar ‘Bunga Pekan’ terus menjadi persoalan kerana tiada rujukan saintifik yang boleh dijadikan sumber utama.

Kekeliruan paling ketara melibatkan tiga spesies iaitu Thunbergia fragrans, Brunfelsia latifolia dan Thunbergia grandiflora yang masing-masing pernah dikaitkan sebagai ‘Bunga Pekan’. 

Menyedari keadaan itu, pasukan penyelidik UMPSA telah menjalankan pencarian secara menyeluruh di sekitar daerah Pekan dengan mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat di samping menelusuri kawasan kampung, tebing Sungai Pahang dan beberapa lokasi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sejarah ‘Bunga Pekan’.

Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila salah seorang ahli pasukan penyelidik, Aluwi Mohd. Sikah berjaya menemui bunga yang dipercayai sebagai ‘Bunga Pekan’. 

Penemuan itu kemudiannya disusuli dengan proses pengesahan secara saintifik melalui analisis morfologi dan kajian taksonomi yang mengenal pasti spesies tersebut sebagai Thunbergia fragrans. 

Penemuan ini menjadi titik permulaan penting dalam usaha mendokumentasikan identiti sebenar ‘Bunga Pekan’ dan menyediakan asas saintifik bagi pemuliharaan dan pengiktirafannya sebagai warisan Bandar Diraja Pekan.

Usaha penyelidik UMPSA dalam memelihara khazanah warisan negara itu akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mengesan semula dan mengesahkan identiti saintifik ‘Bunga Pekan’, spesies yang dipercayai hampir pupus serta menjadi asal-usul nama Bandar Pekan.

Penyelidikan yang bermula pada bulan Ogos 2025 itu diterajui oleh Pusat Penyelidikan Bioaromatik UMPSA dengan kerjasama melalui Pasukan Projek yg ditubuhkan khusus untuk usaha pencarian tersebut bagi memenuhi hasrat Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja (MPPBDR) untuk mencari semula bunga bersejarah tersebut serta mengesahkan identiti saintifiknya.

UMPSA berjaya kesan semula Bunga Pekan, perkukuh warisan alam negeri Pahang

Ketua Penyelidik, ChM Dr. Aini Norhidayah Mohamed berkata, kajian itu bermula apabila pihak MPPBDR memerlukan kepakaran saintifik bagi mengesan semula ‘Bunga Pekan’ yang dikatakan pernah menghiasi tebing Sungai Pahang dan menjadi inspirasi kepada nama Bandar Pekan.

"Melalui penyelidikan ini, pasukan kami berjaya menemui semula ‘Bunga Pekan’ dan mengesahkan identiti saintifiknya.

"Penemuan ini bukan sahaja penting dari sudut biodiversiti, malah menjadi bukti saintifik terhadap sejarah dan identiti daerah Pekan," katanya.

Menurut beliau, projek tersebut melibatkan kepakaran pelbagai disiplin yang terdiri daripada Profesor Madya Ts. Dr. Roshahliza M. Ramli, Aluwi Mohd. Sikah, Hanafi Anuwar, Dr. Siti Hajar Noor Shaarani dan Dr. Nor Hasmaliana Abdul Manas.

"Penyelidikan ini memberi nilai tambah kepada usaha pemuliharaan flora tempatan serta membuka ruang kepada pendokumentasian spesies warisan yang mempunyai nilai sejarah tinggi.

"Matlamat utama penyelidikan adalah untuk mengangkat ‘Bunga Pekan’ sebagai Bunga Rasmi Daerah Pekan di samping mencadangkan pengiktirafannya sebagai Objek Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

"Pengiktirafan ini bukan sekadar memelihara spesies tumbuhan, malah memperkukuh identiti sejarah dan budaya masyarakat Pekan untuk diwarisi oleh generasi akan datang," ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap lebih banyak kerjasama dapat diwujudkan bersama agensi kerajaan dan sektor swasta bagi membangunkan produk hiliran berasaskan ‘Bunga Pekan’, sekali gus memperluaskan manfaat penyelidikan kepada masyarakat dan industri.

Beliau turut menegaskan bahawa penemuan tersebut membuktikan penyelidikan bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan, malah memainkan peranan penting dalam memelihara warisan alam, sejarah dan identiti negara.

Kejayaan ini juga selari dengan aspirasi UMPSA sebagai universiti teknikal yang komited menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri serta pembangunan lestari negara.

Disediakan Oleh: Safriza Binti Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri