Skip to main content

UMPSA berjaya selesaikan Penilaian Tapak Pertama Akreditasi APACC

PEKAN, 19 Mac 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menyelesaikan akreditasi pertama oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) baru-baru ini. 

Lawatan penilaian selama tiga hari itu yang bermula dari 19 hingga 21 Mac lalu dikendalikan oleh pasukan akreditasi APACC yang terdiri daripada Ketua Akreditasi, Profesor Dr. Ramakrishna Challa, Ahli Akreditasi, Dr. Kesavan Ulaganathen dan Pegawai Dokumentasi, Chyna Nina Clarizza T. Lorania.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias turut menaruh harapan tinggi agar UMPSA suatu hari nanti menjadi hab TVET terbaik di rantau ini, dan seterusnya di peringkat global. 

“Saya juga berharap agar UMPSA menjadi universiti awam (UA) pertama di Malaysia yang diiktiraf oleh APACC.

“Pada masa yang sama, UMPSA sentiasa bersedia untuk menjadi peneraju TVET selari dengan keperluan industri dan kemajuan teknologi masa kini. 

“Kami komited untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar demi kecemerlangan akademik dan pembangunan modal insan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pembukaan Lawatan Tapak bagi Proses Akreditasi UMPSA – APACC di Dewan Bankuet, UMPSA Pekan. 

UMPSA berjaya selesaikan Penilaian Tapak Pertama Akreditasi APACC

Beliau turut menegaskan komitmen UMPSA terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan sumber manusia.

“Semoga usaha ini membuahkan hasil yang cemerlang untuk universiti, negara dan generasi masa depan,” katanya. 
Sepanjang tiga hari penilaian, pasukan akreditasi APACC menjalankan sesi temu bual bersama dengan pengurusan dan staf akademik UMPSA untuk mengesahkan bukti yang dikemukakan mengikut tujuh kriteria APACC: (I) Tadbir Urus dan Pengurusan, (II) Pengajaran dan Pembelajaran, (III) Sumber Manusia, (IV) Penyelidikan dan Pembangunan, (V) Imej dan Kelestarian, (VI) Sumber Lain, dan (VII) Sokongan kepada Pelajar. 
Pasukan akreditasi juga turut melawat kemudahan UMPSA dan menemu bual pelajar dan staf untuk mendapatkan pengesahan lanjut terhadap bukti yang disediakan.
Semasa hari akhir proses penilaian tiga hari tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor r. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman mengucapkan tahniah kepada UMPSA atas kejayaan melengkapkan pusingan pertama akreditasi dengan APACC. 
Malah, beliau juga menyampaikan penghargaan kepada pihak APACC atas sokongan yang tidak ternilai dalam membantu perjalanan UMPSA ke arah penambahbaikan berterusan.
APACC merupakan sebuah badan akreditasi serantau yang ditubuhkan untuk menilai dan meningkatkan kualiti institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di rantau Asia-Pasifik. 

Ia ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah Colombo Plan Staff College (CPSC) di Manila, Filipina, dan berperanan sebagai mekanisme penilaian yang memastikan institusi TVET memenuhi standard antarabangsa dalam pelbagai aspek seperti tadbir urus, pengurusan akademik, pembangunan sumber manusia, dan hubungan industri.

Melalui proses akreditasi APACC, institusi dinilai berdasarkan kriteria ketat yang merangkumi keberkesanan pentadbiran, kualiti pendidikan dan latihan, pengurusan sumber, serta impak kepada komuniti. 

Pentauliahan ini bukan sahaja berfungsi sebagai pengiktirafan kecemerlangan, tetapi juga sebagai alat penambahbaikan berterusan untuk institusi yang ingin meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan program pendidikan mereka.

Bagi UMPSA, penyertaan dalam proses akreditasi APACC merupakan satu langkah strategik untuk menilai tahap kesiapsiagaan institusi dalam mencapai standard global. 

Sebelum ini, UMPSA lebih kerap menjalani akreditasi yang berfokus kepada program akademik, namun akreditasi APACC membawa dimensi baharu dengan menilai keseluruhan institusi. 

Ini memberikan perspektif lebih menyeluruh tentang kekuatan serta aspek yang perlu diperbaiki untuk memastikan UMPSA terus relevan dan berdaya saing dalam landskap pendidikan tinggi.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat dan Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal, Pusat Tvet Termaju

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri