UMPSA Business Forum 2025 dan Postgraduate Luncheon raikan kepimpinan, inovasi dan kecemerlangan akademik
KUANTAN, 6 November 2025 – Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini telah menganjurkan UMPSA Business Forum 2025 dan UMPSA Postgraduate Luncheon bertempat di Swiss-Belhotel Kuantan.
Program itu telah dirasmikan oleh Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik), Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, UMPSA yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan pembukaan.
Majlis gilang-gemilang itu disertai seramai 121 orang peserta yang terdiri daripada pemain industri dan juga warga UMPSA.
Forum yang bertemakan ‘Agile Management In The Digital Age: Leading with Adaptability and Innovation’ itu yang membincangkan kepentingan pengurusan tangkas dalam era pendigitalan yang pesat.
Sesi forum menampilkan barisan panel tersohor industri iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Pembuatan: Bukan Sumber) merangkap Ketua Pegawai Digital MIDA, Ts. Norhizam Ibrahim.
Sesi forum dikendalikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Ashraf Fauzi selaku moderator.
Perbincangan interaktif itu turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai strategi kepimpinan berdaya tahan dan pendekatan inovatif dalam menghadapi cabaran global perniagaan digital.
Sesi soal jawab turut mendapat sambutan hangat daripada para peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah, akademia dan wakil industri.
Usai forum, majlis diteruskan dengan Postgraduate Luncheon yang menjadi simbol penghargaan kepada para pelajar pascasiswazah yang bakal menamatkan pengajian.
Dekan FPI, Dr. Mohd Hanafiah menzahirkan rasa bangga atas pencapaian para graduan.
“Ini adalah komitmen fakulti dalam melahirkan pemimpin industri yang berpengetahuan tinggi, beretika dan berdaya saing global,” ujarnya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah berprestij sebagai tanda pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan kepimpinan pelajar.
Antara penerima anugerah ialah Muhammad Azizul Hikmi Fouzi (Shining Star Award 2025 – MBA), Nur Arissa Asfiera Shamsul Fadhli (Shining Star Award 2025 – MPM), Rozilawati Yusof (Outstanding Award 2025 – MBA), Tengku Muhammad Qusyairi Tengku Amran (Outstanding Award 2025 – MPM), dan Raja Ezra Raja Kechik (CEO Award 2025).
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh barisan panel industri yang turut hadir.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian dan sesi cabutan bertuah.
Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan industri-akademia, malah menjadi platform strategik dalam memupuk budaya ilmu, inovasi serta kepimpinan yang dinamik dalam kalangan warga UMPSA.
Disediakan Oleh: Dr. Nazrolnizahi Mohamad Noorzeli, Fakulti Pengurusan Industri (FIM)
- 25 views