Skip to main content

UMPSA catat sejarah terima 1,047 pelajar baharu angka tertinggi

PAYA BESAR, 19 Julai 2026 - Seramai 1,047 pelajar baharu program Diploma Sesi Akademik 2026/2027 mula mendaftar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini, sekali gus mencatat jumlah pendaftaran pelajar baharu tertinggi sejak penubuhannya.

Ia melibatkan seramai 541 orang pelajar mengikuti pengajian di UMPSA Paya Besar manakala selebihnya iaitu seramai 506 di kampus Pekan.

Pendaftaran pelajar diadakan di beberapa lokasi berbeza secara serentak iaitu di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) atau kini dikenali sebagai Kompleks Aspirasi Siswa (KAS) untuk pelajar UMPSA Pekan, manakala Kolej Kediaman 3 dan 4 pula untuk pelajar UMPSA Paya Besar.
 
Proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu berjalan lancar apabila sesi pendaftaran berjalan dalam dua minit sahaja dan mendapat maklum balas yang baik daripada semua pelajar dan ibu bapa.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut meluangkan masa bertemu pelajar baharu semasa proses pendaftaran dan menyantuni keluarga yang hadir.

Beliau mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada pelajar yang memilih destinasi pendidikan tinggi di UMPSA bagi sesi akademik 2026/2027.

 “Saya mengharapkan para pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran di UMPSA akan menjalankan tanggungjawab sehabis baik dengan penuh semangat dan berdedikasi.

“Hari ini merupakan detik bersejarah kerana UMPSA menerima jumlah pelajar baharu yang besar dan mencapai 111 peratus pencapaian kemasukan pelajar yang hadir pada hari ini.

“Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar yang mula mendaftar hari ini,” ujarnya.  

Tambahnya, beliau sempat bertemu dengan ibu bapa hari ini, dan kesemua mereka berkongsi perasaan gembira kerana anak-anak mereka berjaya menjejakkan kaki ke UMPSA. 

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir bersama ke kampus UMPSA,” katanya. 

Dalam masa yang sama, beliau turut hadir menyampaikan Dermasiswa B40, biasiswa khusus untuk pelajar keluarga berpendapatan rendah B40 yang mengikuti pengajian Diploma dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

UMPSA catat sejarah terima 1,047 pelajar baharu angka tertinggi

Tajaan ini meliputi yuran pengajian dan elaun wang saku bulanan. 

Selain itu, beliau juga menyampaikan Bantuan Awal Insentif Pendidikan sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang memerlukan sumbangan Yayasan UMPSA.

Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah juga memberi jaminan agar nasib pelajar yang kurang berkemampuan akan terus menjadi keutamaan universiti.

“UMPSA berkomitmen sepenuhnya untuk memastikan bahawa setiap pelajar, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan, memperoleh peluang pendidikan yang setara dan berkualiti di sini.

“Pihak UMPSA akan terus menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik, dan pelbagai inisiatif untuk memastikan mereka dapat mengejar impian mereka tanpa sebarang halangan,” katanya. 

Bagi penerima manfaat, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Farah Qaisara Amril yang hadir bersama ibunya, Zulia Mohidin dari Sabak Bernam tidak menyangka terpilih menerima dermasiswa ini.

“Saya bersyukur kerana berjaya menjejakkan kaki ke UMPSA dan menanam cita-cita untuk menjadi seorang yang berjaya dan dapat membantu keluarga. 

“Bantuan ini meringankan beban keluarga saya,” jelasnya. 

Begitu juga dengan pelajar Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Muhammad Aqib Hakim Mohd Aliazhar yang merupakan anak sulung pasangan Noriedayu Missdi dan Mohd Aliazhar Zainal Abidin yang berjaya menerima dermasiswa B40 UMPSA.

Sungguhpun Muhammad Aqib menghidap kanser tulang tidak menghalang buatnya untuk terus berjuang mencapai cita-cita.

Beliau antara 20 penerima Bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menampung keseluruhan kos yuran pengajian berserta elaun wang saku untuk perbelanjaannya sepanjang pengajian di UMPSA.

Pada masa yang sama, UMPSA turut menerima empat pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mengikuti pengajian diploma sempena sesi akademik 2026/2027.

Mereka terdiri daripada Ahmad Muhammad 'Ainuddin, 18, dari Selangor dan Nur Ariffah Sabella Muhammad Arif Makandal, 18, dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mendaftar dalam program Diploma Sains Komputer di Fakulti Komputeran (FK) di UMPSA Pekan.

UMPSA catat sejarah terima 1,047 pelajar baharu angka tertinggi

Turut mendaftar ialah Muhamad Muadz Firdaus Muhamad Raifuedin, 18, dari Terengganu dan Muhammad Amin Al Hadi Hanafi, 17, dari Kedah yang akan mengikuti pengajian dalam program Diploma Sains Industri di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) di UMPSA Paya Besar.

UMPSA catat sejarah terima 1,047 pelajar baharu angka tertinggi

Turut hadir menyantuni pelajar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Hajah Haryani Abdullah dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Abd. Rahman Haji Safie.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri