UMPSA dan HAMOC jayakan misi Plogging Bukit Pelindung, perkasa kelestarian alam sekitar
KUANTAN, 27 Ogos 2026 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertajuk ‘Inisiatif Hijau: Plogging Bukit Pelindung 2026’ baru-baru ini.
Program berteraskan kelestarian alam sekitar, kesihatan dan kesukarelawanan itu telah dijayakan melalui kerjasama strategik bersama Persatuan Komuniti Pendaki Pahang (HAMOC).
Berlangsung seawal jam 7.30 pagi di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan komuniti setempat tersebut, aktiviti ini menggabungkan riadah berjalan dan mendaki dengan kutipan serta pengasingan sampah di sepanjang laluan berturap dan trek jalan tar dan juga hutan Bukit Pelindung.
Program yang diselaraskan oleh Profesor Madya Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris ini dilaksanakan sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman.

Ujarnya, ia diadakan bertujuan menyediakan intervensi praktikal bagi mengurangkan lambakan sisa pepejal di kawasan rekreasi awam di samping membudayakan amalan pengasingan sisa, kitar semula, dan prinsip ‘leave no trace’.
“Penglibatan aktif warga FTKMA dalam inisiatif ini adalah selari dengan komitmen universiti terhadap pemindahan ilmu, kesejahteraan komuniti, dan kelestarian.
“Pada masa yang sama, program ini memberi pendedahan situasi sebenar kepada pelajar dan staf untuk menerapkan nilai kepimpinan, kerja berpasukan, disiplin keselamatan, dan tanggungjawab sivik.
“Malah, pelaksanaan program plogging ini juga membuktikan sokongan berterusan UMPSA terhadap agenda global melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (SDG 3), Bandar dan Masyarakat Mampan (SDG 11), Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (SDG 12), Tindakan Iklim (SDG 13), serta Kerjasama demi Matlamat (SDG 17),” katanya.
Tambah beliau lagi, melalui sinergi bersama pertubuhan komuniti tempatan seperti HAMOC, UMPSA berharap agar gaya hidup aktif dapat terus digalakkan bagi menyokong kesejahteraan fizikal dan mental masyarakat.
“Usaha murni ini diyakini mampu memberi impak positif secara langsung kepada kebersihan Bukit Pelindung serta memperkukuh jaringan strategik antara universiti dan komuniti,” katanya.
Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Dan Automotif (FTKMA)
- 19 views
Reports by: