UMPSA dan Jabatan Penjara Malaysia memperkukuh jalinan kerjasama
PEKAN, 4 Februari 2025- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) baru-baru ini memperkukuh hubungan kerjasama dalam memperkasa Agenda TVET.
Majlis menyaksikan kunjungan pihak Jabatan Penjara Malaysia diketuai oleh Timbalan Komisioner Jeneral Dato’ Haji Abdul Aziz Abdul Razak yang Menjalankan Tugas Komisioner Jeneral Penjara bersama lima pegawai kanan dari Jabatan Penjara Malaysia.
Hadir menyambut ketibaan delegasi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang mewakili Naib Canselor UMPSA.
Pada masa ini, program kerjasama antara UMPSA dan Jabatan Penjara Malaysia dilaksanakan dengan membekalkan alatan Biofeedback dan memberikan latihan teknikal teknologi ini kepada pegawai-pegawai di Penjara Malaysia dalam membantu program koreksional (pembetulan) dengan banduan.
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, penggunaan alat Biofeedback adalah sebagai salah satu mekanisme untuk mengenal pasti tahap kepulihan banduan dilaksanakan sejak tahun 2018 di bawah bimbingan Profesor Ts. Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab dari Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMPSA.
“Pertemuan ini juga memberi peluang kedua-dua pihak meneroka lebih banyak peluang berkongsi kepakaran antaranya pembangunan sumber manusia melalui penganjuran seminar, bengkel, kuliah, dan penerbitan yang berkaitan,” ujarnya.
Lain-lain adalah geran padanan, modul latihan, pengiktirafan , kajian, dokumentasi, pembangunan polisi dan garis panduan berkaitan.
Sementara itu, menurut Dato’ Haji Abdul Aziz, biofeedback ini terbukti efektif dalam membantu pemulihan emosi dan mental banduan serta diharapkan dapat mengurangkan kadar jenayah serta memulihkan banduan ke jalan yang lebih baik.
“Kerjasama ini juga mampu memberi banyak peluang pembangunan dan penyediaan program akademik serta aktiviti peningkatan keupayaan melibatkan penyelidikan yang berkaitan serta pembangunan kepada kakitangan,” katanya.
Turut dibincangkan cadangan membentuk Kor Siswa SISWI Koreksional (SISKOR) dalam kalangan pelajar UMPSA.
Dalam pada itu, pihak Jabatan Penjara Malaysia berharap inisiatif ini akan memberi impak yang besar dalam usaha negara mencegah jenayah keganasan, khususnya dalam kalangan banduan kategori radikal.
Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam mencari pendekatan inovatif untuk meningkatkan keberkesanan pemulihan banduan, demi kebaikan negara dan masyarakat.
Hadir sama Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Dekan PSK, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 171 views