UMPSA dan MBOT selaras hala tuju pendidikan teknologi dengan keperluan industri
PEKAN, 21 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh hubungan strategik dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dalam usaha memperkasakan pembangunan program teknologi dan meningkatkan pengiktirafan profesional dalam kalangan warga universiti.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menerima kunjungan hormat delegasi MBOT yang diketuai oleh Presiden MBOT, Profesor Dato’ Ts. Ir. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib di UMPSA Pekan.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh.
Pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan dan membincangkan pelbagai inisiatif strategik yang dapat memperkukuh ekosistem pendidikan teknologi serta memastikan program akademik yang ditawarkan UMPSA terus relevan dengan perkembangan teknologi semasa, keperluan industri dan standard profesional.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan badan profesional seperti MBOT amat penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai kompetensi, kemahiran dan pengiktirafan yang memenuhi kehendak industri serta pasaran pekerjaan global.
“UMPSA sentiasa komited untuk memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan dan memenuhi keperluan semasa industri.
“Hubungan strategik dengan MBOT membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam memperkasakan pembangunan bakat teknologi, memperluas pengiktirafan profesional serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap lebih ramai staf dan graduan UMPSA dapat memperoleh pengiktirafan profesional yang sewajarnya, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti sebagai institusi TVET terunggul negara,” ujarnya.
Perbincangan turut menyentuh kedudukan semasa staf UMPSA yang telah menerima pengiktirafan profesional daripada MBOT serta usaha berterusan untuk memperluas pendaftaran dan pengiktirafan profesional dalam kalangan warga universiti.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan akreditasi bagi program-program berteraskan teknologi, penyesuaian program akademik yang bersesuaian dengan keperluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta pelaksanaan pendaftaran secara berkelompok bagi graduan UMPSA sebagai Teknologis Siswazah atau Juruteknik Berkelayakan.
Inisiatif tersebut dijangka memberi nilai tambah kepada graduan UMPSA melalui pengiktirafan profesional yang diiktiraf industri, di samping meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan.
Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Ir. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib menyambut baik komitmen UMPSA dalam memperkasakan pendidikan teknologi dan TVET serta menyifatkan universiti itu sebagai antara institusi yang aktif dalam menyokong agenda pembangunan bakat teknologi negara.
Beliau turut menzahirkan harapan agar kerjasama yang terjalin dapat terus diperkukuhkan menerusi pelbagai program pembangunan profesional, akreditasi akademik dan pengiktirafan kompetensi yang memberi manfaat kepada staf, pelajar dan graduan.
Kerjasama strategik antara UMPSA dan MBOT ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan pengiktirafan profesional yang memenuhi kehendak industri, negara dan pasaran global, sekali gus memartabatkan pendidikan tinggi teknikal dan TVET di Malaysia.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 16 views
Reports by: