UMPSA dan MCMC ganding bahu jayakan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026
KUANTAN, 20 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang komited terhadap pembangunan komuniti apabila berganding bahu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan beberapa rakan strategik dalam menjayakan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 yang menghimpunkan lebih 200 peserta dari seluruh negeri.
Program bertemakan ‘Internet Selamat, Tanggungjawab Bersama’ itu berjaya menghimpunkan kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS), guru, ibu bapa, penjaga, wakil agensi kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti setempat bagi memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan penggunaan internet secara selamat, beretika serta bertanggungjawab.
Konvensyen yang berlangsung di Auditorium Kampus Utama UCYP University itu merupakan hasil kerjasama strategik antara MCMC, Yayasan GoStrong Malaysia, Pertubuhan Pemupukan dan Pemerkasaan Rakyat (PEMEKAR), UMPSA dan UCYP University dalam memperkasakan literasi digital serta memperluaskan kesedaran terhadap keselamatan siber dalam kalangan masyarakat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Negeri MCMC Pahang, Ts. Mohamad Syukri Jamaluddin.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan, Suruhanjaya Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Isnaruddin Ali; Pendaftar UCYP University, Nazlan Mohamed Nazidin; Presiden PEMEKAR, Profesor Emeritus Dato' Sri Dr. Daing Mohd Nasir Daing Ibrahim; Pengarah, Pusat Hubungan Komuniti UMPSA, Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris serta wakil Yayasan GoStrong Malaysia, Mohd Faizal Othman.
Sebagai rakan strategik, UMPSA memainkan peranan penting melalui penglibatan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa dan staf yang membantu urusan pendaftaran peserta, protokol, logistik, dokumentasi serta penyelarasan program sepanjang konvensyen berlangsung.
Penglibatan aktif itu mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh agenda pemindahan ilmu, kesukarelawanan dan khidmat kepada komuniti selaras aspirasi Malaysia MADANI serta hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi.
Salah satu pengisian utama konvensyen ialah Sesi Jaringan Pakar MADANI yang menampilkan Pengarah Pusat Pengurusan dan Analitik Data UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mazlina Abdul Majid sebagai panel jemputan bagi forum ‘Penipuan Dalam Talian’.
Beliau berkongsi pandangan mengenai peningkatan ancaman penipuan digital yang semakin kompleks, impak perkembangan kecerdasan buatan (AI) terhadap keselamatan siber dan kepentingan memperkukuh literasi digital dalam kalangan ibu bapa serta masyarakat agar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital.
Menurut beliau, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara beretika dan berhemah di samping memastikan mereka memahami risiko yang wujud dalam persekitaran digital.
Manakala Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris berkata, keselamatan digital bukan lagi pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama.
“Melalui kerjasama strategik seperti Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026, UMPSA komited membawa kepakaran universiti terus kepada masyarakat agar ibu bapa, guru dan komuniti lebih bersedia membimbing generasi muda menghadapi cabaran dunia digital secara bijaksana, selamat dan bertanggungjawab,” jelkasnya.
Selain forum tersebut, peserta turut mengikuti Taklimat Khas Kempen Internet Selamat oleh MCMC menerusi forum bertajuk ‘Hentikan Siber Buli’, Kuiz Interaktif Internet Selamat dan pelbagai sesi perkongsian yang memberi pendedahan mengenai ancaman siber, keselamatan data peribadi dan amalan penggunaan internet yang bertanggungjawab.
Konvensyen ini turut menyokong pelaksanaan Kempen ‘Tunggu 16’ yang diperkenalkan MCMC bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa supaya menangguhkan pendaftaran akaun media sosial anak-anak sehingga mencapai usia yang lebih matang, sekali gus mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, jenayah siber dan eksploitasi dalam talian.
Penganjuran konvensyen ini membuktikan kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti mampu menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan masyarakat yang lebih celik digital, beretika dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran era teknologi.
UMPSA berharap kerjasama strategik seumpama ini akan terus diperkasakan bagi membudayakan penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan digital negara yang inklusif dan mampan.
Disediakan Oleh: Muhammad Zarif Hanif Zakaria, Pusat Hubungan Komuniti, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
- 59 views
Reports by: