Skip to main content

UMPSA dan NCWO Pahang perkasakan ekonomi wanita melalui Bengkel Techniaga Berasaskan AI

PEKAN, 14 November 2026 – Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama National Council of Women's Organisations (NCWO) Pahang terus memperkukuh usaha pemerkasaan wanita dalam bidang teknologi digital menerusi penganjuran Bengkel Techniaga: Jana Pendapatan Wanita Pahang Menggunakan Teknologi AI yang berlangsung di Makmal Mobile Computing, Fakulti Komputeran, UMPSA Pekan.


Program di bawah inisiatif Profesor Turun Padang ini melibatkan seramai 25 wanita dari negeri Pahang yang mengikuti latihan praktikal penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kemahiran digital serta meneroka peluang penjanaan pendapatan.


Bengkel ini merupakan kesinambungan usaha memperluas pendedahan wanita terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), selepas seminar seumpamanya berjaya menarik penyertaan 50 peserta wanita pada 16 Mei 2026 di Perpustakaan Awam Kuantan.


Berbeza dengan seminar terdahulu yang memberi pendedahan secara lebih meluas mengenai potensi dan kepentingan AI, bengkel kali ini dilaksanakan dalam kumpulan yang lebih kecil, melibatkan 25 peserta bagi membolehkan pendekatan pembelajaran yang lebih berfokus, interaktif dan berorientasikan amali.


Menurut Pengarah Program, Profesor Ts. Dr. Mazlina Abdul Majid, pendekatan berfasa ini bertujuan memastikan peserta bukan sekadar memahami konsep dan manfaat teknologi AI, malah berpeluang menguasai kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan aktiviti keusahawanan.



“Pelaksanaan bengkel dalam kumpulan yang lebih kecil membolehkan peserta menerima bimbingan secara lebih dekat daripada penceramah dan fasilitator, khususnya ketika menghasilkan kandungan pemasaran dan video promosi menggunakan teknologi AI.


“Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperluas pemindahan ilmu dan kepakaran universiti kepada komuniti, khususnya dalam membantu wanita memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan peluang ekonomi.


“Sepanjang bengkel sehari ini, peserta mengikuti empat modul utama, iaitu Asas AI Teks dan Video, Sesi Praktikal Video Jualan, Pemasaran Afiliasi dan Jualan Tempatan serta Pembentangan dan Ulasan,” ujarnya. 



Peserta turut dibimbing menggunakan aplikasi seperti Google Gemini dan Google Vids untuk menghasilkan skrip jualan dan video promosi produk.


Selain itu, katanya, pendedahan kepada Google Trends dan Google Business Profile turut diberikan bagi membantu peserta memahami potensi platform digital dalam memperluas capaian pelanggan dan meningkatkan keberkesanan pemasaran.


“Bengkel ini dikendalikan oleh Pensyarah FK, Ts. Aziman Abdullah selaku penceramah dengan sokongan barisan fasilitator UMPSA yang memberikan bimbingan secara langsung kepada peserta sepanjang sesi latihan,” jelasnya.


Sementara itu, Pengerusi NCWO Pahang, Dato’ Sri Maznah Mazlan dalam ucapan penutupnya menekankan kepentingan wanita untuk sentiasa bersedia mempelajari dan menguasai teknologi baharu seiring dengan perkembangan era digital yang semakin pesat.


“Penguasaan teknologi, khususnya AI, bukan lagi sekadar satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi membolehkan wanita bergerak lebih pantas, bekerja dengan lebih cekap serta meningkatkan produktiviti dalam kehidupan seharian mahupun aktiviti keusahawanan,” ujarnya. 


Beliau turut menggalakkan wanita agar berani meneroka teknologi baharu dan memanfaatkan peluang yang tersedia untuk meningkatkan keupayaan diri, memperkukuh daya saing serta menjana pendapatan.


Kerjasama antara UMPSA dan NCWO Pahang ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam memastikan wanita tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital, sebaliknya mampu menjadi sebahagian daripada masyarakat yang progresif, berpengetahuan dan celik teknologi.


Penganjuran Bengkel Techniaga ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kesinambungan inisiatif pembangunan kemahiran digital wanita di Pahang, sekali gus memperkukuh peranan UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif dalam pemindahan ilmu dan teknologi kepada komuniti.


Usaha berterusan ini juga diharapkan dapat membantu melahirkan lebih ramai wanita yang berkeyakinan, berdikari dan berdaya saing dalam memanfaatkan teknologi AI sebagai pemudah cara untuk meningkatkan produktiviti serta meneroka peluang ekonomi baharu.

Disediakan Oleh: Profesor Ts. Dr. Mazlina Abdul Majid, Fakulti Komputeran

 

 

Reports by:
AINIEY