UMPSA, DBP catat sejarah alun puisi patriotik 8 jam tanpa henti
GAMBANG, 28 Ogos 2025 – Program Alun Puisi 8 Jam anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah berjaya mengetengahkan bakat seni berpuisi serta mengangkat puisi sebagai wadah penghayatan sastera, seni, budaya dan jiwa patriotisme.
Konsep ‘8 Jam’ membawa simbol infiniti yang menggambarkan kesinambungan seni dan budaya sebagai medium penyatuan komuniti, di samping menyemarakkan semangat kecintaan terhadap warisan tempatan.
Sepanjang program yang bermula seawal jam 9.00 pagi di Perpustakaan UMPSA, Kampus Gambang, seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, mahasiswa, penggiat seni, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat setempat serta warga UMPSA tampil dengan persembahan pelbagai genre seperti syair, rejang, qasidah, sajak, lagu puisi, dekon dan sebagainya.
Persembahan turut diiringi muzik gamelan, gendang Pahang dan tetuang bagi menyemarakkan lagi suasana.
Majlis penutup yang diadakan di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustafa yang hadir mewakili Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias turut mempersembahkan puisi bertajuk ‘Pasak Pertiwi Merdeka Keramat Gemilang Bendera’.
Menurutnya, pihak universiti merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak DBP atas pemilihan UMPSA sebagai rakan strategik penganjuran Alun Puisi 8 Jam ini.
“Kolaborasi ini membuktikan komitmen UMPSA dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya warisan bangsa di samping mendekatkan seni dengan generasi muda melalui pendekatan segar, mesra masyarakat dan inklusif,” ujarnya.
Majlis penutup turut diserikan dengan kehadiran tokoh dan penggiat seni tanah air antaranya Kopratasa, AK Hidayat, Anak Kayan, Ajiq Bakaruddin, Dekon, Aidil Firdaus, Usman Gumanti, Dhani, Amirul dan Haji Nordin.
Kopratasa turut memukau hati penonton dengan alunan penuh jiwa, menghidupkan puisi melalui nyanyian abadi mereka menerusi lagu puisi ‘Masihkah Kau Ingat’, ‘Permata untuk Ister’ dan ‘Tetamu Senja’.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.
Turut hadir Pengarah DBP Wilayah Tengah, Nurul Julia Alani Henry dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang, Mohd Rizal Ismail.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 61 views
Reports by: